PKR Perak Biadap, Kurang Adab

KUALA LUMPUR, 16 Julai – Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid menempelak PKR Perak yang biadap terhadap kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abd Talib.

Ini kerana katanya, ketika mana jenazah Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu masih belum lagi disempurnakan pengebumiannya tetapi Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak sudah mengumumkan partinya akan bertanding di pilihan raya kecil (PRK) kerusi DUN Slim.

“Jenazah belum kebumi lagi, dah umum akan bertanding PRK.

“Melampau PKR/PH ni, tidak sensitif terhadap Datin dan anak-anak Allahyarham Datuk Khusairi,” kata Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) itu dalam satu hantaran di Facebook sambil meninggalkan tanda pagar #biadap #pernahlalui.

Dilaporkan semalam, sebaik sahaja negara mendapat perkhabaran Mohd Khusairi meninggal dunia, Farhash di dalam satu kenyataannya di Facebook turut berkata PKR Perak akan meletakkan seorang calon dari parti itu bagi bertanding di kerusi DUN tersebut.

Terdahulu, dalam platform media sosial yang sama, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menimbulkan persoalan adakah sudah terhakis politik kemanusiaan dalam diri Setiausaha Politik Politik Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

“Jenazah arwah Datuk Khusairi masih belumpun diselenggara dan dikembumikan, tetapi Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim dari PKR ini terus membicarakan soal calon pilihan raya kecil DUN Slim.

“Apakah sudah terhakis politik kemanusian sehingga tiada langsung sekelumit perasaan ihsan dan simpati kepada keluarga Arwah yang masih bersedih atas berita kematian mengejut Datuk Khusairi petang kelmarin? Soalnya, dengan meletakkan tanda pagar #HilangnyaPolitikKemanusiaan.

Begitu dengan pandangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang berkata PKR Perak sebagai kurang adab.

“Jenazah pun belum dikebumikan. Tiada hormat langsung kepada arwah Datuk Khusairi.

“Tiada hormat langsung kepada keluarga. Tiada hormat langsung kepada penduduk Slim.

“Kurang adab,” tegasnya dalam satu hantaran di Facebook.

Mohd Khusairi, 59, disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung pada jam 4.15 petang di Hospital Bentong selepas tiba-tiba pengsan ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf and Country Resort sekitar 2.30 petang semalam.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, Datin Jamilah Nordin dan tujuh orang anak.

Mohd Khusairi, menjadi wakil rakyat Slim selama empat penggal sejak 2004 dan berkelulusan Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Sungai Behrang, Slim River, Perak pada jam 9.20 pagi tadi selepas disembahyangkan di Masjid Masjid Al Rahmaniah Felda Sungai Behrang kira-kira jam 8.30 pagi yang diimamkan oleh anak sulungnya, Mohd Amirul Khamil, 30.

Malam tadi, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menziarahi Allahyarham di Pusat Forensik Hospital Bentong, Pahang dan mengimamkan solat jenazah Allahyarham di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Bentong, yang turut dihadiri pemimpin-pemimpin UMNO dan lain-lain, sebelum dibawa pulang ke kediaman ibunya di Felda Sungai Behrang. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Moha