Bantuan Khas RM500 Untuk Penjawat Awam Pahang

KUANTAN, 15 Julai – Bantuan khas RM500 akan dibayar kepada kira-kira 8,000 penjawat awam di Pahang untuk membantu mereka dalam mendepani impak ekonomi disebabkan pandemik COVID-19.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata bantuan khas bagi pegawai gred JUSA dan ke bawah itu diputuskan pada mesyuarat Exco kerajaan negeri yang dipengerusikan beliau pagi ini.

“Bayaran akan dibuat esok dan melibatkan implikasi kewangan kepada kerajaan negeri kira-kira RM4 juta,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata keputusan itu selaras langkah kerajaan Persekutuan memberikan bantuan khas RM500 kepada 1.5 juta penjawat awam yang merupakan sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 Mac lepas.

Menteri Besar berharap bantuan itu dapat membantu penjawat awam negeri membuat persiapan untuk Aidiladha yang akan disambut pada akhir bulan ini. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.