55 Cadangan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja Parlimen Malaysia

Bismillahhirrahmannirrahim,

Assalammualaikum dan dalam salam sejahtera.

Datuk Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat Sekalian,

1. Sukacita saya ingin mencadangkan:-

“Bahawa suatu ucapan yang tidak sepertinya dipersembahkan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, demikian bunyinya:-

“Ampun Tuanku,

Patik yang di-Pertua dan ahli-ahli Dewan Rakyat Malaysia di dalam Persidangan Parlimen, memohon ampun mempersembahkan suatu ucapan yang ikhlas daripada Majlis Dewan Rakyat mengucapkan berbanyak-banyak syukur dan menjunjung kasih Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda semasa membuka Penggal Ketiga, Parlimen Yang Keempat Belas.”

Datuk Yang di-Pertua ,

2. Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah menyeluruh menyentuh pelbagai kementerian dan berpaksikan kepada kesejahteraan rakyat. Pesanan baginda kepada wakil rakyat tentang pelbagai etika yang baik tentunya kami terima dengan hati yang terbuka.

3. Keprihatinan Tuanku kepada kemajuan negara adalah amat tinggi sekali. Kita samada sebagai penjawat awam, anggota pentadbiran, ahli perniagaan, rakyat yang muda dan tua menyanjung kasih atas titah yang sangat tepat dan kena pada masanya itu.

4. Sesungguhnya Tuanku telah menggalas amanah dengan telus dan adil selaras dengan konsep Raja Berpelembagaan dan demokrasi berparlimen, yang menjadi tunjang amalan negara kita, menurut perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, setelah melalui proses penilaian, Tuanku telah melantik YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mendapat majoriti kepercayaan Ahli Dewan Rakyat, sebagai Perdana Menteri ke-8.

5. Dua rangkap pantun diungkapkan:

Bukan kecil peranan silat,
Langkah perkasa, tua dan muda,
Raja adil, Raja berdaulat,
Rakyat dan Baginda, berpisah tiada.

Membaca buku, sambil berkelah,
Jadi acara, sangat berguna,
Moga Tuanku, dirahmati Allah,
Selamat negara, daripada bencana.

6. Kita semua Ahli-ahli Yang Berhormat telah dititah mengadap
Tuanku ke istana untuk melalui proses penilaian sokongan. Ada yang masuk ke Istana dengan bas berbumbung, ada yang masuk dengan bas tidak berbumbung agar boleh dilihat oleh rakyat dan dunia.

Kemelut politik negara diselesaikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam istana dengan bijaksana setelah Tun Mahathir meletak jawatan, diterima mengadap, diminta oleh Tuanku untuk tidak meletak jawatan, namun Tun Mahathir tetap dengan keputusannya. Akhirnya Tan Sri Muhyiddin dilantik oleh Tuanku menjadi Perdana Menteri Ke-8. Ini kerajaan Pintu Istana yang sah bukan kerajaan pintu belakang. Kumpulan kami juga mendapat mandat daripada rakyat kerana rakyat juga yang telah mengundi kami semua.

Datuk Yang di-Pertua ,

7. Serangan wabak pandemik Covid-19 umpama tercetusnya Perang Dunia ke-3. Jumlah kes di seluruh negara di dunia ialah 13.24 juta dengan kematian 575,525 orang. Kes sembuh 7.69 juta, namun masih ada lebih 4.96 juta yang sedang dijangkiti dan dirawat.

8. Malaysia bernasib baik kerana berjaya memerangi Covid-19 dengan cemerlang. Kita dianggap antara negara yang terbaik di dunia. Tahniah diucapkan kepada kerajaan di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri, Ahli Parlimen Pagoh dan seluruh yang terlibat.

9. Status Covid-19 di Malaysia pada 13 Julai 2020, semalam ialah 8,725 kes keseluruhan, 122 jumlah kematian dan 8,520 kes yang sembuh. Peratus sembuh adalah sangat tinggi iaitu 97.65%, ketiga terbaik di dunia selepas New Zealand dan Korea Selatan. Syukur, Alhamdulillah.

10. Bukan sahaja negara kita antara yang terbaik di dunia dalam memutuskan rantaian wabak Covid-19, pengurusan kesihatan secara umum di Malaysia juga adalah antara yang terbaik di dunia.

11. Sekali lagi mari kita rakamkan penghargaan di Dewan Yang Mulia ini kepada perkhidmatan kesihatan, Majlis Keselamatan Negara, Angkatan Tentera, Polis, RELA, APM, Jabatan Imigresen, Jabatan Bomba, Agensi Pengurusan Bencana Nadma, SKMM, pihak media cetak, media elektronik dan digital serta lain-lain pihak yang tidak dapat disebutkan satu persatu.

12. Tahniah kepada YB Bera, Menteri Kanan Pertahanan yang mempengerusikan mesyuarat hampir setiap hari juga YB Tenggara, Menteri Kesihatan dan kakitangan Kementerian Kesihatan. Tahniah kepada Kementerian Kewangan yang menguruskan Prihatin dan Penjana bagi membantu meringankan beban rakyat, ketika bencana Covid-19 yang mengganas melanda.

13. Terpenting penghargaan juga kepada seluruh rakyat di negara ini dari Semenanjung hingga ke Sarawak dan Sabah yang telah dengan taat menuruti SOP PKP, PKPD, PKPB dan PKPP. Oleh kerana kepatuhan rakyat, maka negara ini dapat bangkit semula setelah mengalami episod Covid yang mengerikan.

14. Pantun lagi

Daun palas pandan wangi,
Daun selasih jangan disimpan,
Covid-19 jaya diperangi,
Terima kasih Barisan Hadapan.

Ayah fasih membaca hikayat,
Sebagai ketua dalam keluarga,
Terima kasih kepada rakyat,
Kerjasama anda sangat berharga.

Kain songket, kain kasa,
Pakaian nikah, helaian baju,
Terus bangkit, bangsa dan nusa,
Sederap melangkah, bersama maju.

Datuk Yang di-Pertua ,

15. Bagi membantu rakyat terkesan Covid-19 dan PKP, Bantuan Prihatin Nasional (BPN) telah menyalurkan RM10.92 bilion kepada 10.245 juta orang. Ini adalah suatu rekod bantuan terbesar seumpamanya. Terima kasih sekali lagi kepada Kerajaan dan Kementerian Kewangan.

16. Geran Khas Prihatin pula telah memanfaatkan 544,632 perusahaan kecil dan sederhana dengan RM3,000.00 setiap satu berjumlah RM1.634 bilion. Dicadangkan prosedur untuk PKS mendapatkan geran ini akan dipermudahkan dan kurang red tape. Pastikan semua peniaga termasuk Pasar Malam, Pasar Tani, Pasar Borong, Penjaja Kecil, Pekedai, Food Truck, Penjaja Tepi Jalan semuanya dapat.

17. Keseluruhan kesan bantuan langsung dan tidak langsung Prihatin dan Penjana berjumlah RM295 bilion, merupakan angka yang besar dan luar biasa. Namun suntikan fiskal langsung sebanyak RM45 bilion menyebabkan defisit 5.8-6%. Dicadangkan antara kaedah kerajaan yang tuntas dan pantas bagi mengatasi defisit belanjawan yang tinggi ini ialah dengan cara mengembangkan lagi pertumbuhan ekonomi hingga ke 8% supaya cukai yang banyak boleh dikutip daripada syarikat-syarikat.

18. Mengenai program subsidi upah pula sebanyak RM7.07 bilion diluluskan untuk 307,518 majikan yang memanfaatkan lebih 2.46 juta pekerja rakyat Malaysia. Setakat mana keberkesanan subsidi upah untuk mengatasi 860 ribu pengangguran iaitu 5.5% yang berlaku? Adakah subsidi upah diberi juga kepada pekerja asing? 13.8 bilion semua

19. Dana Pinjaman Mudah (PUM) yang dikendalikan Bank Negara Malaysia, diluluskan bank tempatan dan setuju terima adalah RM8.4 bilion yang memanfaatkan 19,539 PKS. Ini termasuk dana (dengan izin) Special Relief Facility, automation and digitilisation facility, All Economic sector facility dan agrofood facility. Dicadangkan ada dana lain yang boleh membantu usahawan PKS dan sekali lagi diminta prosesnya dipermudahkan. Mungkin boleh dinamakan sebagai Dana
Prihatin atau Dana Penjana atau Dana Pengembang Perniagaan misalnya.

20. Sebanyak 7,577 permohonan peniaga mikro bernilai RM260.6 juta di bawah Skim Kredit Mikro BSN dan 25,071 permohonan diluluskan bagi TEKUN Nasional bernilai RM191.5 juta (sehingga 26 Jun 2020). Tambah lagi dana kepada TEKUN dan Amanah Ikhtiar Malaysia. Usahawanusahawan kecil yang berjumlah ratusan ribu orang wajar terus dibantu. Mereka juga ada beberapa orang pekerja setiap perusahaan yang memerlukan penerusan pekerjaan.

21. Bila rakyat berkurung dalam rumah dengan # hastag #staysafe, #StayAtHome, #DudukRumah semua termasuk abah dan Mak Cik Kiah – tentunya bil lektrik naik melambung. Terima kasih kepada kerajaan yang memberi Bantuan Prihatin Elektrik berjumlah RM944 juta, hampir Rm1 bilion, paling tinggi dalam sejarah negara. Ini termasuk 4 juta iaitu 52.2% pengguna domestik dengan bil lektrik sebulan kurang RM77, menikmati bil lektrik percuma selama 3 bulan. Sukar nak cari kerajaan yang sebaik ini dalam dunia.

22. Oleh kerana penggunaan air juga bertambah ketika PKP, saya ingin mencadangkan agar Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memberikan subsidi untuk bil air kepada rakyat B40 terutamanya atau beri air percuma untuk jumlah tertentu selama 3 bulan iaitu Mac, April, Jun kepada rakyat yang miskin.

Datuk Yang di-Pertua ,

23. Malaysia kembali mencatatkan lebihan dagangan RM10.41 bilion pada Mei, melantun semula daripada defisit dagangan RM3.63 bilion yang dicatatkan pada April, meskipun eksport secara keseluruhan adalah lebih lemah daripada jangkaan. Persidangan APEC 2020 wajar diambil peluang untuk mengukuhkan hubungan dagang pelbagai hala. Tahun Melawat Malaysia 2020 yang telah dibatalkan dicadangkan dihidupkan semula pada tahun 2021 atau 2022 atau 2023 iaitu bila vaksin Covid-19 telah ditemui dan dunia pulih daripada wabak.

24. Perdagangan Malaysia bagi lima bulan pertama tahun ini bagaimanapun mencatatkan pengurangan sebanyak 8.7 peratus kepada RM688.57 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu. Perdagangan yang lebih rendah direkodkan dengan Thailand, Singapura, India, China dan Hong Kong, manakala dagangan dicatatkan meningkat dengan Korea Selatan dan Indonesia.

25. Kementerian Kewangan, MITI dan Kementerian Ekonomi, perlu menyediakan langkah-langkah proaktif dan kreatif bagi menempuh kemelesetan ekonomi dunia yang dijangka berlaku hujung tahun ini dan tahun hadapan.

26. Adakah tanda-tanda yang Vcurve akan berlaku dalam pertumbuhan ekonomi di negara ini setelah pakej rangsangan Prihatin dan Penjana dilaksanakan sepenuhnya? Atau berlaku Ucurve atau ada curve yang lain akibat negara-negara luar dan maju di dunia masih belum berjaya dalam memerangi covid-19.

Datuk Yang di-Pertua ,

27. Saya mohon PERDANA MENTERI menyatakan mengapa pendaftaran otomatik untuk menjadi pengundi belum dilaksanakan lagi, bila akan dilaksana dan berapakah jumlah rakyat yang sepatutnya mendaftar tapi belum mendaftar menjadi pengundi mengikut pecahan kaum.

28. Seterusnya saya mohon PERDANA MENTERI menyatakan adakah akan digubal undang-undang berkaitan dana politik. Isu dana politik bukan perkara kecil. Ramai pihak diheret ke mahkamah kerananya. Jadi saya ingin kepastian, adakah akan dibentang di Dewan ini? Jika tidak, mengapa?
Jika ya, bilakah ianya akan dibentangkan.

29. Saya juga mohon PERDANA MENTERI nyatakan apakah tindakan susulan kepada RCI Skandal Forex dan laporan polis yang dibuat? Mengapa laporan polis ditarik balik oleh Kerajaan PH? Kehilangan RM30 bilion yang bernilai sekarang sekitar RM100 bilion bukannya kecil.

30. Titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku menyebut masalah kos sara hidup perlu terus ditangani. Ada 5 cadangan yang ingin saya utarakan iaitu:

30.1. Kurangkan service charge/caj perkhidmatan daripada 10% kepada 5% dalam restoran, hotel dan perkhidmatan lain. Sekarang ini ada juga yang tidak kenakan caj itu.

30.2. Lanjutkan moratorium bayaran balik kepada yang hilang pekerjaan dan sektor niaga yang terjejas. Jumlah moratorium bayaran balik institusi kewangan dianggar RM51.4 bilion (RM17.9 bilion sektor perniagaan dan untuk rakyat RM33.38 bilion).

30.3. Banyakkan kawalan harga barang oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pangguna bukan hanya pada waktu perayaan. Cegah kartel, monopoli, persaingan yang tidak sihat. Pastikan Akta Anti Pencatutan dilaksana dengan ketat.

30.4. Kembalikan usaha usaha mewujudkan Gedung Makanan Negara (GMN) bagi mengeluarkan pelbagai produk makanan dilaksana dengan KPI yang tinggi di FELDA, FELCRA, RISDA, KEDA, MADA, KESEDAR dan lain-lain agensi. Kita mesti utamakan food security (keselamatan makanan), utamakan kualiti dengan harga yang patut.

30.5. Harga makanan di semua kantin dan café di universiti, sekolah, pejabat, asrama hendaklah dikawal dengan baik. Kembalikan khidmat Kafe Rakyat 1Malaysia di beberapa universiti awam tetapi telah dihentikan oleh pihak tertentu.

Datuk Yang di-Pertua ,

31. Saya minta pertama, MENTERI KEWANGAN menyatakan perkembangan projek TRX-1MDB dan masa depannya. Apakah perkembangan projek Bandar Malaysia?
Nyatakan aset 1MDB berjumlah RM42 bilion dan hutang RM31 bilion secara terperinci seperti pernah disebut oleh bekas CEO 1MDB, Arul Kanda. Benarkah IPIC bersetuju untuk selesaikan semua dana yang dipertikaikan sebelum 30 Disember 2020 tapi Kerajaan PH tidak mahu penyelesaian sebegitu.

31.1. Sejak Mei 2018 hingga kini, berapakah aset Khazanah Nasional dan semua entiti milik Perbendaharaan yang telah dijual, kepada siapa dijual dan berapa nilainya serta kaedah penjualan? Berapa aset baru dimiliki oleh Khazanah dan semua entiti milik Perbendaharaan, daripada siapa dibeli dan berapa nilainya. Berapa banyak nilai aset khazanah yang dijual untuk mencatat keuntungan daripada penjualan aset sebanyak RM9.9 bilion seperti laporan baru-baru ini.

31.2. Ketiga, nyatakan perbandingan tujuh perkara berikut pada 2 April 2018 dibanding pada 20 Februari 2020 iaitu kadar defisit, jumlah hutang kerajaan (tidak termasuk contingent liability), kadar inflasi, kadar pengangguran, kadar pertumbuhan KDNK, nisbah hutang kerajaan daripada KDNK dan indeks KLSE/Bursa Malaysia. Apa pula angka terkini tujuh perkara itu? Apakah langkahlangkah untuk memperbaiki keadaan ekonomi negara?

Selingan Datuk Yang di-Pertua ,

32. Sebelum saya meneruskan perbahasan ada empat rangkap puisi PKP (original) untuk renungan :-

Jalan raya hampir lengang,
Tiada suasana sesak,
Bandar raya jadi tenang,
Ayah anak belajar masak.

Niaga online berkembang,
Kenderaan awam tidak berasak,
Rambut panjang panjang,
Bil letrik naik mencanak.

Face mask pagi petang,
Hand sanitizer sentiasa bawak,
Jarak semeter bukan penghalang,
Covid-19 ramai yang cuak.

Dibenar lambat bayar hutang,
Kerja dari rumah boleh pulak,
Siang malam tidur tenang,
Tahun depan lahir anak.

33. Laporan NST 3 April 2020:

Malaysia is expected to have a baby boom in January next year, thanks to the MCO – Movement Control Order. Diramal oleh Dr Hamizah Mohd Hassan, Ketua Unit Kesihatan LPPKN Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara.

Datuk Yang di-Pertua ,

34. Saya pohon MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA & INDUSTRI:

34.1. Pertama menyatakan langkah-langkah untuk meningkatkan eksport, mengurangkan import barangan dan perkhidmatan. Berikan data 5 tahun terkini perdagangan dan juga data eksport perniagaan milik Bumiputera serta langkah untuk meningkatkannya.

34.2. Kedua menyatakan jumlah pekerjaan baru dalam bidang pembuatan dan perdagangan untuk tahun 2017, 2018, 2019 dan jangkaan tahun 2020. Apakah usaha-usaha untuk pastikan jumlah itu bertambah, berapa bilangan bergaji tinggi dan berapa peratus pekerja tempatan dibanding pekerja asing.

34.3. Ketiga nyatakan langkah terperinci dan bajet yang terlibat bagi meningkatkan pemahaman rakyat dan penglibatan PKS dalam IR 4.0 terutama di luar bandar. Setakat mana penglibatan pihak belia dalam IR 4.0 dan nyatakan program-program khusus untuk membantu usahawan belia bagi mengaplikasikan IR 4.0. Revolusi Industri 4.0 disebut secara specifik di dalam Titah Tuanku Agong.

35. Dipohon MENTERI PEMBANGUNAN LUAR BANDAR menyatakan jumlah panjang dan bajet jalan kampung dan paip air di semua negeri pada tahun 2017, 2018, 2019 dan perancangan 2020. Apakah perancangan lama dan baru untuk meningkatkan ekonomi masyarakat luar bandar serta laporkan kejayaannya. Apakah usaha kita membawa industri ke kawasan luar bandar agar kurang berlakunya penghijrahan ke bandar-bandar.

36. Diminta MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN
DAN KOMODITI nyatakan perbandingan harga-harga setan atau sekilo pada 2 April 2018 dibanding pada 20 Februari 2020 iaitu BTS sawit, getah sekerap, koko, lada hitam dan komoditi lain bawah kawalan kementerian. Nyatakan langkahlangkah terperinci untuk menaikkan harga komoditi tersebut dan berapa ramaikah pekebun kecil dan industri yang terlibat dengan setiap komoditi.

37. Minta MENTERI PERUMAHAN DAN KERAJAAN
TEMPATAN nyatakan pemilikan rumah terkini mengikut kaum dan kategori rumah murah, sederhana dan mewah. Nyatakan langkah-langkah terperinci untuk memastikan semua rakyat terutama yang sudah berkeluarga memiliki rumah dan langkah-langkah untuk mengawal harga rumah dan kadar sewa berpatutan kepada mereka yang belum memiliki rumah. Kajian wajar dilakukan tentang kadar sewa kediaman agar dasar mengenainya boleh dibuat bagi membantu rakyat.
Bilakah Dasar Perumahan Mampu Milik Negara seperti dalam Titah DiRaja akan dilaksanakan?

Datuk Yang di-Pertua ,

38. Minta MENTERI PEMBANGUNAN USAHAWAN DAN KOPERASI:

38.1. Menyatakan langkah-langkah dan bajet untuk menambah bilangan usahawan PKS di negara ini. Nyatakan data usahawan PKS Bumiputera dan pecahan mengikut jenis perniagaan serta usaha meningkatkan edagang Bumiputera. Ketika Covid-19, perniagaan online sangat diperlukan dan bagaimana usaha kementerian untuk menambah lagi bilangan usahawan e-dagang.

38.2. Senaraikan sebab bangsa Melayu/Bumiputera kurang jadi usahawan dan mengapa masyarakat lain ramai? Apa langkah untuk ramaikan Bumiputera jadi usahawan? Adakah pendidikan sekolah rendah, menengah dan universiti akan dirombak untuk ajar ilmu keusahawanan secara subjek yang tetap dan wajib lulus?

38.3. Nyatakan langkah terperinci yang terkini dan peruntukan untuk setiap langkah bagi meramaikan jumlah usahawan berdaya maju di sekitar 20 ribu buah kampung seluruh negara. Berikan angka usahawan luar bandar mengikut 14 negeri dan beri 10 nama syarikat yang paling berjaya untuk setiap negeri.

39. Dipohon MENTERI SUMBER MANUSIA dan MENTERI PENGAJIAN TINGGI menyatakan peratus pengangguran di kalangan belia dan graduan serta langkah-langkah yang sudah dan akan diambil bagi memastikan jumlah pekerjaan adalah mencukupi dan sesuai dengan kelulusan dan kemahiran tinggi belia. Nyatakan juga langkah untuk mengurangkan pembuangan pekerja dan berapakah angka terkini mengikut pecahan industri. Titah Tuanku Agong dengan jelas menyebut agar para majikan tidak membuang pekerja dengan sewenang-wenang.

40. Pekerjaan adalah aspek yang terpenting dalam hidup. Untuk kerja yang baik mesti ada kelulusan dan kemahiran yang baik. Tugas kerajaan yang mustahak ialah menyediakan pusat, pakar, kemudahan, pendidikan dan kemahiran untuk seramai mungkin belia dan rakyat. Latih anak muda berdikari dengan berniaga. Latih mereka untuk menjadi Bangsa Usahawan yang berjaya.

41. Gaji yang baik perlu untuk menyara kos hidup yang semakin tinggi. Dengan kemahiran dan pendidikan tinggi maka gaji akan tinggi. Higher learning for higher earning. Anak-anak muda, teruslah belajar ke tahap setinggi mungkin. TVET mestilah terus diperkasakan. Malaysia wajar mempunyai 70% rakyat yang berpendidikan atau berkemahiran tinggi.

Saya harap Kementerian Pendidikan, Sumber Manusia dan Pengajian Tinggi menyambut cabaran besar ini demi kemajuan negara.

42. Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Pertahanan perlu mengembalikan semula King Salman Centre for International Peace (KSCIP).

43. Tanah Rezab Melayu yang telah digunakan mestilah digantikan dengan kawasan yang lain, di tempat yang strategik. FELDA 2.0 dengan tanah seluas 5 ekar perlu diberi kepada 405,441 isi rumah yang termiskin di negara ini.

Datuk Yang di-Pertua ,

44. Minta MENTERI KANAN PENDIDIKAN menyatakan projek-projek pendidikan di Parlimen Pontian serta kosnya untuk tahun 2017, 2018, 2019 dan perancangan tahun 2020. Adakah kolej komuniti di Benut dan Sekolah Agama Berasrama Penuh akan dibina di Benut, Pontian; berapa kos dan bila akan dimulakan. Menteri Kanan Pendidikan wajar menyemak buku teks sejarah Tingkatan 4 yang terdapat kesilapan fakta. Mohon dirujuk pandangan Profesor Datin Paduka Datuk Dr Ramlah Adam mengenainya.

45. Minta MENTERI KERJA RAYA membesarkan jalan dari Bandar Pontian ke Pekan Tampok dan membina laluan motorsikal dari Benut ke tol Simpang Renggam. Nyatakan kos yang terlibat dan bilakah ianya akan dilaksanakan. Diharap projek ini dapat dimasukkan dalam RMKe-12.

46. Pembesaran Hospital Pontian telah diluluskan era kerajaan BN lagi tapi ditiadakan ketika era PH. Oleh itu, minta Menteri Kesihatan agar meluluskannya. Masjid Derah Pontian dipohon agar diluluskan oleh JAKIM. Masjid lama berumur 83 tahun sudah tidak dapat menampung jumlah penduduk.

47. Semoga Rancangan Malaysia Ke – 12 yang akan dibentang awal tahun akan mengagihkan pembangunan ke seluruh negara dengan adil. Janganlah sesuatu kawasan menerima berbilion ringgit tapi kawasan yang lain ada yang menerima cuma puluhan juta ringgit sahaja. Janganlah ada yang mempunyai jalan bertingkat-tingkat berlapis-lapis, tapi sesetengah kawasan prasarana masih daif. Diharap EPU membuat kajian teliti agar pembangunan disamaratakan seluas dan sebanyak mungkin kepada seramai rakyat. Tuanku Agong bertitah agar kerajaan terus berusaha untuk merapatkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri dan wilayah.

48. Saya ingin mencadangkan agar MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI yang menguruskan ekonomi, YB Jeli agar menerima cadangan-cadangan bernas daripada kami Ahli-ahli Parlimen untuk pembangunan bagi RMKe-12 di Kawasan kami masing-masing.

Datuk Yang di-Pertua ,

49. Al-Quran surah Ali-Imran ayat 26 untuk renungan:

Katakanlah (wahai Muhammad) “wahai Tuhan yang memiliki pemerintahan! Engkaulah yang memberi pemerintahan kepada sesiapa yang engkau kehendaki dan Engkaulah yang mencabut pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan.
Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”

50. Ayat ini memberi peringatan kepada semua kita sebagai tonggak kepada pemerintahan bahawa kuasa yang Maha Besar ialah Allah S.W.T. yang boleh memberi dan mencabut pemerintahan.

Datuk Yang di-Pertua ,

51. Maka saya nukilkan sebuah lagi gurindam untuk renungan:

Wahai kerajaan,

Jangan anda berlaku zalim,
Mengguna mahkamah dan penjara,
Mengheret orang tidak berdosa,
Hanya kerana lantang bersuara.

Wahai kerajaan,

Jangan anda berlaku zalim,
Menuduh orang tanpa asas,
Menyalah akta tiada belas,
Mengguna agensi jadi perkakas.

Wahai kerajaan,

Jauhkan daripada kezaliman,
Berlaku adil dalam pentadbiran,
Bijaksana mengurus pembangunan,
Rakyat akan mencurah sokongan,
Jika kesusahan diberi bantuan.

Wahai kerajaan,

Jangan anda berlaku zalim,
Jangan sombong bila berkuasa,
Jangan rakyat anda lupa,
Kelak terbalik segala bahtera,
Kelak anda berputih mata.

Wahai kerajaan,

Jauhkan daripada kezaliman,
Allah berkuasa atas segala,
Ingat mati jangan dilupa,
Boleh jatuh bila-bila masa,
Jika taqdir sudah menimpa.

Datuk Yang di-Pertua ,

52. Saya ingin mencadangkan agar kerajaan mengembalikan kewujudan semua institusi dan agensi yang telah dimansuh, dihenti, dipinggir, dibuang, diserap oleh kerajaan PH sebelum ini, iaitu:-
a) Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)
b) Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA)
c) Seranta FELDA, Jabatan Perdana Menteri
d) Biro Tatanegara (BTN), Jabatan Perdana Menteri
53. Anggota penjawat awam lama boleh diambil semula jika mereka bersetuju untuk bekerja lagi. Fungsi agensi boleh dibaiki sesuai dengan hala tuju kerajaan ini yang prihatin rakyat dan ingin mewujudkan pentadbiran yang terbaik. Kembalikan juga sistem berpencen kepada penjawat awam yang baru.

54. Saya juga ingin mencadangkan agar jika dahulu,

a) Ada yang bantah SOSMA, POCA, POTA, Akta Hasutan; tetapi telah terbukti akta-akta itu berguna untuk negara, jangan disalahguna, maka teruskanlah kewujudannya.

b) PDRM perlulah hidupkan semula STAGG, STAFOC dan STING iaitu Pasukan Taktikal Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme; Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang dan Pasukan Khas Taktikal Narkotik.

55. Saya ingin mencadangkan agar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 ditukar namanya kepada Wawasan
Kemakmuran Rakyat. Ini kerana tumpuan sepatutnya adalah kepada rakyat, daripada rakyat, demi rakyat, prihatin rakyat, segalanya rakyat. Ianya boleh dilanjutkan kepada 5 tahun selepas 2030 memandangkan Covid-19 memberi kesan pengunduran kemajuan sekitar 5 tahun kebelakang. Wawasan Kemakmuran Rakyat 2035 adalah lebih sesuai dengan pertukaran kerajaan dan lebih tepat kepada sasaran.
Jika rakyat makmur, bermakna negara juga akan maju dan makmur.

56. Saya ingin mencadangkan, agar kaedah pembelajaran atas talian untuk para pelajar dimantapkan khasnya di luar bandar di Sabah dan Sarawak. Oleh itu Kementerian Komunikasi dan Multimedia mesti bersegera menyelesaikan isu internet yang lembab di kampung-kampung, Menara SKMM perlu sentiasa di upgrade, 4G/5G dimantapkan, jalur lebar yang mesti meluas jaringannya.

57. Dasar Pendidikan Tahfiz Negara perlulah dimantap dan diperkasakan. Usaha untuk melahirkan 125,000 orang hafiz mesti diteruskan. Universiti al-Quran yang pernah dicadang oleh kerajaan BN elok dipertimbangkan semula. Para huffaz yang dapat dilahirkan mestilah mengambil SPM dan boleh berpeluang melanjutkan pendidikan di Universiti, agar menjadi professional yang memiliki ilmu dunia ketika dada berisi alQuran. Cadangan oleh Kementerian Wilayah, JAKIM, Perbadanan Putrajaya, MAIWP dan Yayasan Restu untuk membina Perkampungan al-Quran (Quran Village) di Precint 14, Putrajaya adalah sesuatu yang mulia dan eloklah disegerakan.

58. Saya ingin mencadangkan agar satu revolusi pendapatan, revolusi ekonomi besar-besaran dibuat agar rakyat semua kaum mempunyai pendapatan median bulanan isirumah (median monthly household income) sebanyak RM8 ribu. Untuk tahun 2019, Bumiputera mendapat RM5,420, India RM5,981 dan masyarakat Cina RM7,391. Oleh itu, lonjakan berganda (quantum leap) mesti dibuat kepada Bumiputera dengan suatu revolusi besar menjadikannya sebagai Bangsa Usahawan dan ramaikan yang bergaji tinggi. Titah DiRaja menyebut bahawa bidang keusahawanan menjadi antara nadi utama pembangunan ekonomi negara.

59. Sehubungan itu, saya ingin mencadang ditubuhkan Briged Niaga oleh kerajaan melalui kerjasama pelbagai kementerian untuk melonjak gandakan bilangan usahawan khususnya di kalangan bumiputera. Briged Niaga itu bolehlah dibahagi kepada 5 kategori iaitu:-

a) Briged Niaga Muda (BNM)
b) Briged Niaga Wanita (BNW)
c) Briged Niaga Online (BNO)
d) Briged Niaga Innovatif (BNI) (Ini melibatkan Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi)
e) Briged Niaga Antarabangsa (BNA)

60. Maksud briged/brigade ialah suatu formasi taktikal ala tentera yang mempunyai sejumlah 3 – 6 batalion (700-1000 orang sebatalion). Pasukan niaga ini mesti memiliki disiplin dan ilmu dan taktikal perniagaan yang tinggi bagi membolehkan revolusi niaga di kalangan bumiputera boleh dicapai.

61. Allahyarham Datuk Senu Abdul Rahman pada tahun 1971, telah menulis sebuah buku penting, berjudul Revolusi
Mental yang dilancarkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak. Pada tahun 2020 ini rasanya mental rakyat Malaysia sudah melalui proses evolusi dan revolusi yang hebat. Namun revolusi niaga sebagai kerjaya hidup masih tidak dicapai oleh Bumiputera. Oleh itu, satu lagi siri revolusi wajar dilakukan.
Revolusi memerlukan satu perubahan yang cepat dan mendadak berlawanan dengan konsep evolusi iaitu perubahan secara beransur-ansur. Revolusi niaga melalui penubuhan Briged Niaga di semua daerah wajar dilakukan untuk mewujudkan Bangsa Usahawan Baru Bumiputera di seluruh negara.

62. Pendapatan Garisan Kemiskinan (PGK) isi rumah telah dinaikkan daripada RM980 kepada RM2,208 menjadikan jumlah isi rumah miskin meningkat daripada 16,653 kepada 405,441 isi rumah iaitu daripada kelompok 10% terbawah isi rumah. Apakah yang perlu kerajaan lakukan terhadap mereka? Tuanku bertitah sebagai pemimpin, Ahli Yang Berhormat hendaklah menjiwai keluh kesah rakyat dan membela nasib rakyat. Tentunya termasuklah dalam isu kemiskinanan.

63. Saya ingin mencadangkan agar 2 orang anak dalam setiap keluarga itu diambil menjadi anak angkat kerajaan bagi dipastikan mereka diberikan Pendidikan dan kemahiran tinggi. Kemudian 2 anak yang berjaya itu diberikan pekerjaan bergaji tinggi atau menjadi usahawan berjaya yang dapat mengeluarkan keluarga berkaitan, terlepas daripada putaran ganas kemiskinan. Program istimewa ini boleh dinamakan sebagai Keluarga Prihatin Nasional (KPN) sesuai dengan program besar Kerajaan Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

64. Keluarga termiskin yang sebelum ini didaftarkan dalam senarai e-kasih, boleh didaftar dalam senarai e-prihatin. Mereka perlu diberi bantuan khas terutama Latihan untuk peniaga kecil dan diberilesen khas DBKL atau lessen Majlis Perbandaran/Daerah.

65. Sabda Nabi Muhammad SAW diriwayatkan Abu Naim
‘Kemiskinan itu dekat kepada kekufuran.’

66. Nabi Muhammad SAW dalam hadith Riwayat Abu Dawud, Nasaei dan Ahmad berdoa yang bermaksud:

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan Mu daripada kekufuran dan kefakiran dan aku berlindung dengan Mu daripada azab kubur. Tiada Tuhan melainkan Engkau.”

Datuk Yang di-Pertua ,

67. Membasmi kemiskinan hampir setengah juta isirumah di negara ini adalah satu jihad besar yang mesti diperjuangkan oleh kita dan kerajaan pada setiap hari, bulan dan tahuntahun yang mendatang.

68. Keuntungan yang diumum baru-baru oleh Tabung Haji ini adalah berdasar penjualan aset, sukuk yang tidak dijamin kerajaan dan tiada subsidi ratusan juta akibat tiada Jemaah Haji tahun ini. Segala isu yang telah dibangkitkan mestilah dijawab dan lebih elok diwujudkan Suruhan Siasatan DiRaja (RCI) mengenai Tabung Haji agar seluruh rakyat akan lebih berpuashati demi kelangsungan sebuah institusi yang disegani di seluruh dunia Islam khasnya.

Akhir kalam, dinukilkan 2 rangkap pantun:

Sinar suria, pelangi tercipta,
Bagai prisma, yang menyerikan,
Malaysia satu-satunya, negara kita,
Mari bersama, sepakat majukan.

Waktu senja, cantik cahaya,
Tiba malam, bintang gemerlap,
Sekian sahaja, ucapan saya,
Pohon maaf, jika tersilap.

Saya dengan ini mohon mencadang.

YB DATUK SERI HAJI AHMAD BIN HAJI MASLAN
AHLI PARLIMEN PONTIAN
PADA 14 JULAI 2020

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.