Jumlah Undi Cukup Bermakna, Kerajaan Jelas Ada Sokongan – Ahmad Maslan

 

KUALA LUMPUR, 13 Julai – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata undian belah bahagian bagi usul pengosongan jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang menyebelahi kerajaan walaupun tipis tetap memberi makna yang besar bagi kelancaran persidangan.

Begitu juga katanya ia sebagai bukti kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih boleh berfungsi terutama bagi mendepani cabaran wabak pandemik COVID-19 yang melanda negara kini.

“Kita telah melihat tadi bahawa pengundian untuk pertukaran Speaker Dewan yang telah dimenangi oleh pihak kerajaan dengan undi 111 dan pihak pembangkang 109 undi. Ini kerana ada dua undi yang tidak mengundi iaitu Timbalan Speaker, Datuk Mohd Rashid Hasnon kerana mempengerusikan sidang dan beliau adalah penyokong kerajaan dan satu lagi adalah Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Maximus Ongkili yang sakit di hospital.

“Bererti angka yang ada pada kerajaan PN adalah 113. 113 undi sudah cukup bererti untuk berada sebagai kerajaan walaupun demikian kita tahu ini adalah majoriti yang nipis dan ini terpulang kepada pucuk pimpinan untuk melaksanakan perkara-perkara yang demikian.

“Walau bagaimanapun kerajaan masih boleh berfungsi sebagaimana yang kita lihat hari-hari seperti menteri, timbalan menteri semuanya berfungsi dan juga kementerian-kementerian untuk kita melaksanakan tugas-tugas yang perlu dalam COVID-19 ini kepada rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Tengahari tadi, usul kerajaan yang dicadangkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan jawatan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat diluluskan Dewan Rakyat, melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 111 Ahli Parlimen bersetuju manakala 109 lagi tidak bersetuju dengan usul berkenaan.

Mengumumkan keputusan undi berkenaan, Timbalan Speaker Datuk Mohd Rashid Hasnon juga berkata seorang Ahli Parlimen tidak hadir.

Pada sesi selepas berhenti rehat, Muhyiddin mengusulkan pencalonan Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun sebagai Speaker mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata untuk sesi berikutnya adalah pengundian Timbalan Speaker bagi menggantikan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming untuk digantikan dengan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Walaubagaimanapun, pengundian pemilihan Timbalan Speaker tidak diadakan berikutan pemegang jawatan itu sebelum ini, Kor Ming mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta.

Tempat Kor Ming digantikan dengan Azalina atas cadangan Muhyiddin yang mengusulkan supaya Azalina dipilih menjadi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat 6 (2) yang dibaca bersama Peraturan 4 (1), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.