Categories: Berita Lain

Kerja-kerja Projek RTS Dijangka Bermula Nov – Hasni

ISKANDAR PUTERI, 12 Julai – Kerja-kerja pembinaan projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura dijangka dapat dimulakan pada November depan. 

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, ini berikutan semua perkara yang dikehendaki dalam perjanjian projek itu telah pun dapat dipenuhi kedua-dua pihak.

“Saya dimaklumkan semua perkara yang dikehendaki dalam ketiga-tiga perjanjian telah pun dapat dipenuhi. Jadi apabila ia ditandatangani, dalam tempoh tiga bulan kita akan dapat melihat permulaan projek tersebut,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas melawat Projek Jambatan Sungai Pulai  di sini, hari ini.

Hasni diminta mengulas mengenai perkembangan projek mega berkenaan yang merangkumi pembinaan landasan sepanjang empat kilometer, menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bharu dan Woodlands di Singapura dengan kapasiti mengangkut 10,000 penumpang, setiap jam.

Projek RTS ini penting kerana dapat memberi kemudahan kepada rakyat Johor yang terpaksa menyeberang ke Singapura untuk tujuan pekerjaan, selain menyelesaikan masalah kesesakan di Tambak Johor.

Pembinaan projek RTS sepatutnya bermula tahun lepas, namun tertangguh beberapa kali. Kos baharu projek berkenaan adalah sebanyak RM3.16 bilion berbanding kos asal RM4.93 bilion.

Mengulas lanjut, Hasni berkata depoh penyelenggaraan dan operasi kereta api bagi projek itu yang sepatutnya dibina di Mandai, Singapura telah dipindahkan ke Wadihana, Johor Bahru.

Katanya, pembinaan depoh yang dirancang di tanah berkeluasan antara 2.42 hingga 2.83 hektar itu dijangka dapat membuka kira-kira 500 peluang pekerjaan.

Mengenai cadangan kerajaan Persekutuan untuk membuka semula pintu sempadan bagi membolehkan pekerja Malaysia masuk ke Singapura, Hasni berharap ia boleh dilaksanakan selepas selesai pilihan raya Republik berkenaan.

“Saya yakin dan percaya bahawa usaha kedua-dua negara (Malaysia dan Singapura) akan beroleh satu keputusan yang segera,” katanya.- BERNAMA

Recent Posts

PRN Johor: BN Tekad Perkukuh Kedudukan, Mohamad Hasan Dilantik Pengarah, Hasni Ketua Penyelaras

KUALA LUMPUR, 29 Jan – Barisan Nasional (BN) bertekad untuk terus mempertahan dan mengemas kini…

1 jam lalu ago

Tolak Retorik Pembangkang… PRN Johor Peluang Rakyat Stabilkan Kerajaan Negeri – Wanita UMNO

KUALA LUMPUR, 29 Jan – Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim melihat kenyataan bekas…

8 jam lalu ago

PRN Johor: MB Beri Bayangan Akan Pertahan DUN Benut

PONTIAN, 29 Jan - Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad hari ini memberi bayangan akan bertanding…

9 jam lalu ago

Adakan Pilihan Raya Negeri Selari Dengan Aspirasi Rakyat

JOHOR BAHRU, 29 Jan - Tindakan kerajaan Johor membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengadakan…

9 jam lalu ago