Unit Pembangunan Strategik Ekopelancongan Galak Pemuliharaan Biodiversiti Dan Jana Pendapatan – Dr Shamsul

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) akan menubuhkan  Unit Pembangunan Strategik Ekopelancongan bagi  menggalakkan pemuliharaan biodiversiti dan menjana pendapatan ekonomi kepada rakyat serta negara.

Menterinya,  Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata inisiatif berkenaan bagi menggiatkan aktiviti ekopelancongan yang merupakan salah satu inisiatif tawaran baharu KeTSA bagi tempoh 2020 hingga 2023 di bawah komitmen menguruskan sumber asli secara mampan.

“Penubuhan unit baru ini nanti akan dapat memastikan sasaran inisiatif yang ditetapkan bagi menggiatkan aktiviti ekopelancongan iaitu penglibatan masyarakat tempatan dan pribumi dalam ekopelancongan ditingkatkan sebanyak 50% pada tahun 2025 berbanding tahun 2020.

“Taman Negara, Taman Negeri, Hutan Lipur dan Taman Geopark disenaraikan sebagai destinasi ekopelancongan utama negara. Dan banyak lagi sebenarnya pembangunan yang berbentuk ekopelancongan dilakukan oleh KeTSA,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Tambah Dr Shamsul lagi KeTSA akan terus melaksanakan tanggungjawab ini demi kepentingan rakyat dan negara.

“Hari ini, saya melakukan lawatan ke UNESCO Global Geopark Discovery Centre pagi di Langkawi Kedah. Saya diberikan taklimat dan lawatan ini bertujuan untuk mendapatkan gambaran keseluruhan bagi membolehkan kita membangunkan beberapa tapak geopark baru,” ujarnya – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.