Jumlah Pengunjung Majlis Tidak Lagi Dihadkan Selagi Ada Jarakan Sosial – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 10 Julai – Jumlah maksimum peserta atau pengunjung di majlis agama, sosial dan rasmi akan diselaras mengikut kapasiti ruang tertakluk kepada jarakan sosial bermula 15 Julai ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bersetuju had 250 orang yang putuskan sebelum ini ditimbang semula.

“Setakat ini kita hadkan tetamu untuk majlis kahwin sebagai contoh adalah seramai 250 orang dan jemaah masjid (serta penganut bukan Islam) seramai satu pertiga daripada kapasiti masjid dan rumah ibadah bukan Islam.

“Jadi untuk menyamaratakan semua sekali, kita bersetuju had tetamu dan peserta adalah berdasarkan keluasan sesuatu tempat dengan syarat ada penjarakan sosial sejauh satu meter,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu hari ini.

Beliau memberi contoh bagi sebuah dewan berkapasiti 1,000 orang akan dapat memuatkan 800 individu berdasarkan pelaksanaan jarakan sosial.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata mesyuarat juga bersetuju dengan Garis Panduan Pengurusan Sekolah Berasrama yang dibentangkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Antara garis panduan itu ialah hanya murid dan pelajar yang sihat sahaja dibenarkan kembali ke asrama selain perlu melakukan saringan kesihatan semasa pendaftaran masuk ke asrama, katanya.

“Sekiranya terdapat murid yang bergejala, pihak pentadbiran perlu mendapatkan nasihat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan memaklumkan ibu bapa atau penjaga untuk membawa pulang murid.

“Garis panduan yang dikeluarkan KPM ini boleh digunakan untuk mana-mana sekolah berasrama yang lain yang tidak terletak di bawah KPM seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sekolah swasta,” katanya.

Beliau berkata sebagai langkah keselamatan, Kementerian Kesihatan akan menjalankan ujian saringan COVID-19 secara rawak di asrama.

Ismail Sabri turut berkata pelajar tingkatan empat dibenarkan pulang ke asrama bermula 15 Julai ini sementara untuk pelajar tingkatan lain, bermula 3 Ogos.

Bagi asrama di sekolah rendah, khususnya di kawasan pedalaman, murid tahun lima dan enam juga dibenarkan pulang ke asrama masing-masing pada 15 Julai.

Mengulas mengenai kebenaran mengadakan kelas muzik dan peperiksaan bahasa Inggeris bagi persediaan ke luar negara TOEFL (ujian bahasa Inggeris sebagai bahasa asing), Ismail Sabri berkata kedua-duanya adalah dibenarkan. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.