UMNO Parti Bermaruah, Dr Latiff Sila Letak Jawatan, Desak Zahida


KUALA LUMPUR, 8 Julai – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia mengecam sekeras-kerasnya kenyataan biadap dan angkuh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad yang menyebut UMNO Sabah sebagai sebuah parti yang tidak laku.

Tegas Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan, kenyataan tersebut bukan sahaja mengguris hati ahli UMNO di Sabah, malah pejuang parti seluruh Malaysia yang terus bersetia walau dalam keadaan susah dan perit ketika menjadi pembangkang.

“Beliau seharusnya muhasabah diri dari mana datangnya kedudukan sebagai Ahli Parlimen Mersing jika bukan atas tiket UMNO dan bantuan jentera parti yang dihina ini.

“Beliau juga sepatutnya belajar rasa hormat sesama rakan gabungan dalam kerajaan hari ini dan disiplin sebagai pimpinan tertinggi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Zahida turut menimbulkan persoalan adakah benar UMNO sudah tidak laku.

“Sedangkan rakyat sudah menjadi saksi kebangkitan parti keramat ini hingga kami diberi mandat menang dalam enam pilihan raya kecil dan dua daripadanya menewaskan parti kalian pada ketika itu.

“Justeru, demi maruah UMNO parti keramat ini, kami mendesak agar Datuk Latiff segera melepaskan jawatannya selaku Menteri Kabinet,” gesanya lagi.

Puteri UMNO juga katanya tidak akan sesekali merelakan maruah parti dari terus diperlekeh oleh pihak lawan mahupun kawan. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Moha

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.