Kerajaan Negeri Akan Mohon Peruntukan RM1 Bilion Bagi Jana Ekonomi Johor

ISKANDAR PUTERI, 6 Julai – Kerajaan negeri akan memohon peruntukan sebanyak RM1 bilion daripada kerajaan Persekutuan untuk menjana semula ekonomi negeri selepas terjejas akibat pandemik COVID-19.

Menteri Besar Datuk Ir Hasni Mohammad berkata peruntukan tersebut dilihat penting terutamanya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Johor yang terlibat dalam sektor pembuatan, kini dilihat antara penyumbang terbesar kepada ekonomi Johor.

“Ahli mesyuarat (dalam Majlis Ekonomi Ibrahim Johor (IJEC) mencadangkan agar kerajaan negeri mengusahakan peruntukan daripada kerajaan Persekutuan sekurang-kurangnya RM1 bilion untuk memastikan keberkesanan dalam usaha untuk merancakkan ekonomi dalam sektor pembuatan.

“Kita akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kewangan untuk memberi gambaran sebab kerajaan negeri memerlukan peruntukan sekurang-kurangnya RM1 bilion berasaskan kepada potensi yang ada dalam sektor pembuatan untuk ditingkatkan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama IJEC di sebuah hotel di sini, hari ini.

Ia dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Azmi Rohani, mantan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Datuk Dr. Ali Hamsa dan Pegawai Kewangan Negeri Johor Datuk A. Rahim Nin.

IJEC turut dianggotai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation (JCorp) Datuk Syed Mohammad Syed Ibrahim; Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hiliran Petronas Datuk Md. Ariff Mahmood; Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Datuk Ismail Ibrahim dan Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

Turut hadir Pengerusi EcoWorld Development Group Bhd Tan Sri Liew Kee Sin; Pengerusi Malaysia Institute of Research (MIER) Tan Sri Dr. Kamal Salih; Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat Datuk Rosman Mohamed; Pengarah/Pengasas Bait Al Amanah Dr. Abdul Razak Ahmad dan Timbalan Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Pembangunan) Datuk Dr. Badrul Hisham Kassim.

Dalam mesyuarat yang berlangsung selama tiga jam itu, penubuhan sebuah jentera pelaksana seperti Unit LAKSANA dan PEMUDAH dipertimbangkan untuk memantau dan melihat keberkesanan pelaksanaan program yang dirancang oleh kerajaan negeri.

Sementara itu, Hasni berkata agenda mesyuarat pertama IJEC hari ini bakal dijadikan panduan dalam merangka Bajet Johor 2021, yang akan dibentangkan dalam Dewan Negeri, dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Beliau berkata hasil perbincangan antara wakil kerajaan negeri dan 12 tokoh dan pemain industri akan menjadi penanda aras untuk merangka bajet tersebut.

“Perbincangan tadi merangkumi soal bantuan kepada industri kecil dan sederhana (IKS), sektor kesihatan dan pelancongan. Kita akan memastikan tiada golongan yang akan diketepikan, tidak kira mereka yang berada di bandar dan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata mesyuarat IJEC dijangka akan diadakan dalam masa dua bulan akan datang. – BERNAMA