Akta Rukun Negara Dimensi Baru Memperkasa Perpaduan Kaum Di Malaysia

KANVAS perpaduan dan integrasi kaum di Malaysia diwarnai dengan pelbagai konflik dan cabaran yang dinamik dalam membentuk suatu masyarakat yang harmoni dengan kepelbagaian agama, budaya, adat resam dan bahasa menjadikan usaha Malaysia ke arah perpaduan dan integrasi nasional lebih kompleks berbanding negara-negara lain di dunia.

Justeru itu, kepelbagaian ini menuntut satu pendekatan yang membolehkan kesemua kaum bekerjasama untuk membentuk perpaduan, sikap toleransi dan saling memahami bagi menjaga kestabilan dan keamanan negara memandangkan ianya merupakan elemen penting dalam membentuk pembangunan dan kemajuan negara

Namun demikian, pada masa kini ketidaktentuan dan kestabilan politik turut menyumbang kepada potensi keretakan hubungan antara kaum yang telah dibina sekian lama sehingga membangkitkan sikap prejudis, stereotaip, curiga sangsi dan sikap etnosentrik yang menebal menyebabkan berlakunya perubahan dalam iklim kemakmuran perpaduan negara.

Konflik ini semakin meruncing disebabkan oleh sikap individu yang tidak bertanggungjawab melakukan provokasi dengan menyentuh sensitiviti kaum dan agama menyebabkan berlakunya beberapa siri perselisihan faham dan perbalahan yang menggugat keselamatan dan ketenteraan awam seperti penghinaan agama Islam dan Nabi Muhamad SAW, hak istimewa orang melayu dan bumiputera serta kedudukan Raja-raja Melayu yang dijamin di dalam perlembagaan.

Justeru itu, perkara ini tidak boleh dipandang remeh dan perlu diberikan perhatian sewajarnya agar peristiwa berdarah 13 Mei 1969 tidak berulang. Pengajaran daripada peristiwa tersebut perlu dijadikan iktibar agar setiap masyarakat berbilang kaum di Malaysia sedar bahawa betapa pentingnya untuk kita terus kekal bersatu padu bagi menjamin keharmonian masa depan negara.

Lantaran itu, pelbagai mekanisma telah dibincangkan dan dibahaskan oleh para intelektual dan pembuat dasar bagi mendapatkan suatu kaedah bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku ini. Oleh itu, antara langkah yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan bagi menjayakan usaha ini adalah menerusi penerapan dan pemahaman mengenai perpaduan menerusi pendidikan. Usaha ini sememangnya telah memberikan impak yang besar di dalam hubungan antara kaum di Malaysia, namun demikian ianya perlu ditambah baik lagi dengan melakukan beberapa pengubahsuaian terhadap dasar pendidikan. Sungguhpun demikian, isu berkaitan perpaduan menerusi pendidikan bukanlah perkara yang ingin dibahaskan di dalam penulisan ini sebaliknya penulis ingin membawa para pembaca ke arah suatu dimensi baru kepada perbincangan topik ini.

Justeru itu, terdapat suatu sudut yang kurang diberikan perhatian oleh ramai pihak iaitu berkaitan kepentingan Rukun Negara di dalam memperkukuhkan lagi perpaduan rakyat berbilang kaum. Sungguhpun kita baru sahaja meraikan Ulang Tahun Ke-50 Rukun Negara sempena pengisytiharaannya pada 31 Ogos 1970, namun demikian ianya gagal dihayati dan difahami malah tidak dihafal oleh kebanyakan rakyat sebaliknya hanya sekadar tersemat sebagai suatu ideologi semata-mata terutamanya oleh generasi muda.

Hasilnya, ketiadaan asas ini telah mewujudkan tindakan radikal dan ekstrem di dalam kehidupan seharian dan media sosial sehingga membawa kepada krisis kesan daripada pengabaian Rukun Negara sebagai pedoman masyarakat majmuk. Ingin ditegaskan bahawa prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara dibentuk bertujuan untuk membentuk perpaduan yang kukuh sebagai kunci kepada keharmonian dan kesejahteraan masyarakat berbilang kaum bagi menjamin kestabilan negara.

Maka, sudah tiba masanya ideologi ini diberikan wajah baru dengan lima prinsipnya iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan dan Kesusilaan diharmonikan dan dibentuk menjadi suatu akta dikenali sebagai Akta Rukun Negara. Pelaksanaan akta ini tidak bersifat terpilih sebaliknya akan melindungi setiap agama dan kaum yang terdapat di dalam negara.

Perkara ini penting kerana sudah menjadi fitrah kejadian manusia yang memerlukan kepada undang-undang dan peraturan sebagai garis panduan kehidupan. Maka, apabila dilaksanakan kelak setiap perbuatan yang dilihat melanggar prinsip tersebut akan dikenakan tindakan yang bersesuaian bagi menjamin keharmonian dan perpaduan di negara.

Konklusinya, prinsip dan matlamat Rukun Negara amat relevan dan perlu diharmonikan dengan kewujudan Akta Rukun Negara ini agar menjadi suatu mekanisma perundangan penting bagi membendung masalah yang menyelubungi konflik perpaduan kaum yang dilihat semakin meruncing di negara ini.

DATUK SERI DR IRMOHIZAM IBRAHIM
Peguambela & Peguamcara
Tetuan Ganesan, Irmohizam & Co