Mohd Sharim Mula ‘Bertugas’ Selepas Menang PRK Chini

PEKAN, 5 Julai – Baru sahaja malam tadi diumumkan sebagai pemenang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, wakil rakyat baharu kawasan itu Mohd Sharim Md Zin hari ini mula turun padang menyantuni masyarakat.

Seawal 8.00 pagi lagi, Mohd Sharim meluangkan masa bersarapan dengan penduduk Felda Chini 3 di sebuah warung roti canai sebelum ke Pasar Tani Kekal Chini di Bandar Dara Chini bagi merakamkan penghargaan di atas kepercayaan memilihnya dalam PRK yang diadakan semalam.

Masyarakat terutama generasi lama Chini dilihat begitu gembira dengan kemenangan itu dan mengucapkan tahniah kepada Mohd Sharim yang bukan lagi asing bagi penduduk memandangkan beliau adalah generasi kedua di Felda itu.

Mohd Sharim yang ditemui berkata, ia adalah tugasan pertama beliau sebagai wakil rakyat di kawasan itu bagi mengetahui keluh kesah penduduk sebelum dikemukakan ke peringkat yang lebih tinggi untuk diselesaikan.

“Hari ini saya bertemu dengan penduduk Felda Chini 3 dan dengar pandangan serta permasalahan mereka. InsyaAllah selepas ini saya akan berjumpa dengan penduduk di kawasan lain pula.

“Soal pembangunan DUN Chini dan masalah air belum diselesaikan dan dengan kerjasama kerajaan negeri dan kerajaan pusat kita akan selesaikan perkara itu dalam masa terdekat,” katanya.

Turut akan ditumpukan selepas ini ialah soal pembangunan ekonomi Chini dan dengan adanya sebuah kilang kertas di Paloh Hinai selepas ini dijangka mampu memberi peluang pekerjaan kepada lebih 3,000 anak muda di Chini.

Dalam pengundian PRK Chini yang diadakan semalam Mohd Sharim menang dengan majoriti 12,650 selepas memperoleh 13,872 undi.

Sementara pencabarnya, dua calon Bebas iaitu Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, meraih 1,222 undi dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, mendapat 137 undi, sekaligus hilang deposit masing-masing. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.