Wujudkan ‘Blue Print’ Untuk Mengupayakan Generasi Muda Felda – Shahril


PEKAN, 4 Julai – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan mencadangkan kerajaan mewujudkan ‘blue print’ (rangka tindakan) yang berkesan untuk mengupayakan modal insan di kalangan generasi muda Felda.

Katanya, ia hendaklah memenuhi aspirasi dan kehendak golongan tersebut serta segmentasi hasil daripada kajian pendampingan besar-besaran.

“Kalau parlimen boleh buat ‘white paper’ (kertas putih Felda) yang PH (Pakatan Harapan) buat dulu tak ke mana pun, kenapa tidak kita buat satu kajian yang mendalam tentang masa depan warga Felda ini.

“Pasti mereka (generasi muda Felda) akan menyambut baik seandainya kerajaan boleh menunjukkan keikhlasan untuk menghasilkan masa depan yang mereka mahukan dan kita boleh rancang strategi.

“Kalau pendidikan Malaysia ada ‘blue print’, kalau pembangunan kereta api laju ada ‘blue print’, kenapa tidak Felda sebab Felda ini sinonim dengan masyarakat Melayu dan nasib bangsa. Sudah tiba masanya satu perkara yang mendalam boleh dibuat,” ujarnya dalam segmen Kabor Chini yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online, Sabtu malam.

Shahril juga mengulas mengenai isu masalah peluang pekerjaan anak muda di kawasan Felda dan juga luar bandar.

“Ini satu cabaran yang mengambil masa tetapi kalau nak minta gesaan kepada kerajaan dan pihak berkuasa pusat dan negeri, kita melihat kepada kawasan Felda itu sendiri apa sebenarnya keperluan masyarakat, apa sebenarnya kelebihan kawasan tersebut.

“Seperti Felda yang sinonim dengan pertanian, apakah teknik-teknik fasa pertanian moden kalau tak boleh dibuat seluruh negara…kalau boleh dieksperimen di beberapa tempat yang mana pembabitan anak muda itu digalakkan sangat sebagai sebahagian dari skim.

“Ada juga hujah kembalikan sedikit unsur asal projek penerokaan Felda, yang saya nampak boleh cuba perintiskan di beberapa tempat,” katanya lagi.

Selain dari itu jelasnya, berkaitan isu infrastruktur, prasarana dan ekonomi hendaklah pemilikannya melibatkan golongan muda.

Dalam perbincangan yang berkaitan, Shahril juga berkata adalah menjadi cabaran besar kepada parti untuk mendekati golongan muda yang tidak minat kepada politik.

“Ini cabaran kepada kita bagaimana untuk menyampaikan dan meyakinkan kepada mereka yang termasuk dalam segmen ‘silent majority’ ini.

“Untuk menutup jurang itu, perlu ada kreativiti bagaimana menyampaikan maklumat, bagaimana menggambarkan untuk meyakinkan mereka,” katanya. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed