Calon BN Mohd Shahrim Buang Undi Dengan Suasana Normal Baharu

PEKAN, 4 Julai – Calon Barisan Nasional Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Mohd Sharim Md Zain bersama isteri Norhiliyana Abd Hamid, mengundi di Sekolah Agama Rakyat (KAFA) Felda Chini 3, jam 9.10 pagi tadi.

Sebanyak 13 pusat pengundian dan 65 saluran disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam suasana pengundian normal baharu.

Secara keseluruhan, terdapat 66 saluran di 14 pusat mengundi bagi DUN Chini termasuk saluran dan pusat mengundi awal membabitkan 18 pengundi polis yang selesai pada 30 Jun lepas.

PRK DUN Chini menyaksikan 20,990 pengundi yang terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal.

PRK kawasan berkenaan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Shahrim Md Zain yang akan berdepan dua calon Bebas iaitu, Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung. Abu Bakar menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak Pilihan Raya Umum ke-11.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Abu Bakar menang dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang mendapat 5,405 undi manakala Mohamad Razali Ithnain dari PKR sekadar memperoleh 1,065 undi.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.