Hina Jata Negara: Di Mana Nilai Patriotisme Dap

KUALA LUMPUR, 1 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membidas ADUN Dap yang menyelar Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia kononnya jangan terlalu sensitif sangat dengan isu penghinaan terhadap Jata Negara.

Tegasnya, ADUN Dap pertahankan kulit buku ‘Rebirth’ kononnya atas nama seni dan prinsip kebebasan bersuara.

“Kami ingin secara tegas lontarkan persoalan berikut kepada pimpinan Dap, apakah atas dasar Kebebasan Bersuara maka terhalallah segala bentuk penghinaan dan kebiadaban terhadap lambang kedaulatan Negara?

“Apakah pimpinan Dap ini sudah hilang jatidiri dan nilai cintakan Negara sehingga tergamak mempertahankan perilaku curang terhadap Jata Negara yang merupakan maruah Negara?

“Kenapa pimpinan Dap ini bagaikan sudah terhakis patriotisme dalam sanubari sehingga bertegas nak sentuh lambang kedaulatan negara kita?”

Soalnya lagi, kalau beginilah sikap Dap, maka memang wajar sekali Kerajaan PH runtuh setelah hanya 22 bulan memerintah dan harus dikuburkan terus daripada persada politik negara oleh rakyat.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan dalam laman facebooknya hari ini. – UMNO Online