Asyik Ratib Najib, Najib… Najib Pelawa Dr Mahathir Datang Ke Chini


PEKAN, 27 Jun – Bekas Perdana Menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad dipelawa bertandang ke Chini untuk berkempen bagi pihak calon Bebas yang disokongnya di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan tersebut.

Demikian ulas Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengenai tindakan Dr Mahathir yang jelas memberi sokongan kepada seorang calon Bebas yang menemui bekas Pengerusi PH itu.

“’Atok’ buat video kepada orang Chini sokonglah calon Bebas. ‘Atok’ lepas batok di tangga je, datanglah ke Chini…Najib sedia menunggu.

“Tidak usahlah ratib Najib…Najib… tulis surat semuka pun lima kali sebut Najib. Saya geleng kepala bila saya tengok,” sinisnya yang merujuk ‘atok’ kepada Dr Mahathir, sebagaimana gelaran yang diberikan oleh ‘netizen’.

Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian di dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Paloh Hinai, di sini, Jumaat malam.

Hadir sama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mohd Jamil Khir Baharom.

DUN Chini merupakan satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan.

Bidasnya lagi, terbaharu Perdana Menteri Kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menjadi mangsa kemarahan Ahli Parlimen Langkawi itu.

Begitu juga katanya jika diselusuri sejarah politik negara, Dr Mahathir sentiasa bergaduh dan tidak boleh bekerjasama dengan beberapa pemimpin negara seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tun Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah, Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn.

Mengulas lanjut, Najib berkata jelas selama 22 bulan Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri dan kerajaan PH memerintah, rakyat tidak mendapat pembelaan.

“22 bulan apa yang dia buat. Apa yang kerajaan PH di bawah pimpinan Dr Mahathir buat untuk kita? Dia suruh kita ikat perut.

“Potong BR1M (Bantun Rakyat 1Malaysia), bantuan sekolah, nelayan, pekebun kecil, pesawah padi. Yang patut tambah dikurangkan yang patut naik diturunkan. Saham turun dividen Tabung Haji turun. Cukuplah 22 bulan ini,” tambahnya.

Najib juga kesal kerana kerajaan PH membatalkan peruntukan untuk kemudahan awam contohnya pembinaan masjid di Paloh Hinai dan Bebar.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Najib berkata PRK DUN Chini sedikit sebanyak mempunyai kaitan dalam konteks politik tanah air semasa di mana sentimen rakyat memilih BN dan menolak PH.

Katanya juga pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu PH menang kerana mengamalkan fitnah yang dahsyat secara terancang dan kerana janji-janji palsu termasuklah kepada peneroka Felda.

Oleh kerana itulah juga, Najib mencabar Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman turun berkempen di PRK DUN Chini.

Untuk rekod, DUN Chini mempunyai lebih 80 peratus pengundi dari kawasan tanah rancangan Felda. – UMNO ONLINE

Oleh: Zylan Mohamed

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit