PRK Chini: Pucuk Pimpinan UMNO/BN Dengar Suara Rakyat Pilih Calon Muda – Farid


PEKAN, 19 Jun – Pemilihan Mohd Sharim Md Zain sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini membuktikan bahawa pucuk pimpinan UMNO/BN mendengar suara rakyat, kata Ketua Pemuda UMNO Negeri Pahang, Mohd Farid Mohd Nor.

Katanya, kini suara anak muda diberi perhatian oleh pucuk pimpinan tertinggi apabila UMNO telah berjaya melakukan transformasi kepimpinan dan pendekatan khususnya kepada generasi pemangkin parti.

“Alhamdulillah saya merasa cukup gembira dengan pemilihan calin ini… akhirnya, suara orang muda didengar dalam PRK. Kita dapat melihat calon orang muda dipilih untuk mewakili BN untuk PRK Chini pada kali ini.

“Ini sebenarnya memberi makna yang cukup besar dan melangkaui sempadan DUN Chini malah memberi isyarat yang jelas kepada anak muda khususnya dalam UMNO dan BN bahawa mereka masih punya harapan dan masih ada peluang untuk menjadi wakil kepada parti bagi meneruskan perjuangan.

“Saya kira dengan isyarat ini sedikit sebanyak ia dapat meningkatkan lagi semangat rakan-rakan saya dalam Pemuda UMNO serta NGO yang setia kepada BN dan UMNO untuk memperhebatkan lagi gerak kerja mereka di seluruh negara,” katanya kepada UMNO Online, di sini, hari ini.

Jelas Farid lagi, dengan pencalonan anak muda ini, beliau mengharapkan agar UMNO dan BN terus mendapat sokongan dari semua lapisan masyarakat.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pucuk pimpinan khususnya Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri dan juga Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak selaku Ketua UMNO Bahagian Pekan yang telah memilih calon ini untuk mewakili BN di Chini,” ujarnya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Chini pada 4 Julai dengan hari penamaan calon pada 20 Jun ini, manakala hari pengundian awal pada 30 Jun.

DUN Chini, yang merupakan satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan, akan menyaksikan PRK pertama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lepas.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi, manakala calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain daripada PKR (1,065).

Daftar pemilih bagi PRK DUN Chini mengandungi 20,990 pengundi yang terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal manakala tiada pengundi tidak hadir luar negara. Pengundi berusia 40 tahun dan ke bawah merupakan majoriti di DUN itu iaitu mewakili 56 peratus. – UMNO Online

Recent Posts

Sabah Teroka Peluang Jadi Pengeluar Hidrogen Menjelang 2025 – Bung Moktar

KOTA KINABALU, 29 Nov - Kerajaan Negeri Sabah sedang meneroka peluang untuk menjadi pengeluar hidrogen…

1 jam lalu ago

Tahniah Akar Umbi Parti Jayakan Persidangan UMNO Cawangan – Sharkar

KUALA LUMPUR, 29 Nov - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar…

1 jam lalu ago

RTK-Antigen, RT-PCR Mampu Kesan Varian Omicron – Khairy

SHAH ALAM, 29 Nov - Ujian pengesanan COVID-19, menggunakan RTK-Antigen dan RT-PCR adalah berkesan untuk…

2 jam lalu ago

PM Ismail Sabri Mulakan Lawatan Rasmi Ke Singapura

SINGAPURA, 29 Nov - Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memulakan lawatan rasminya…

2 jam lalu ago

Melaka Cadang Perluas Kursus FIBK Kepada Pengusaha Pusat Jagaan Kanak-Kanak

MELAKA, 29 Nov - Kerajaan Melaka bercadang memperluas kursus Sijil Fasilitator Insan Berkeperluan Khas (FIBK)…

2 jam lalu ago