Annuar Musa Sedia Selesaikan Masalah Persatuan Sukan Dengan DBKL
PUTRAJAYA, 17 Jun – Berita baik bagi persatuan sukan di Kuala Lumpur.
Ini berikutan, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa sedia bertemu dengan persatuan sukan berkenaan, untuk mencari penyelesaian menerusi perbincangan untuk persatuan yang menghadapi isu atau masalah seperti penggunaan fasiliti sukan milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Saya tidak berapa jelas apa isu dan masalah dihadapi mereka. Prinsipnya, DBKL bersedia memberi keutamaan untuk persatuan nasional dan persatuan negeri, terutamanya di Kuala Lumpur sendiri menggunakan fasiliti yang dibina dan dimiliki oleh DBKL.
“Cuma ia perlu dibuat secara ikut peraturan, dulu ada juga bila DBKL bagi, ada sesetengah persatuan tidak membayar bil elektrik dan penyelengaraan tidak dijaga. Bukan hanya bagi hak menggunakan, kita bagi peruntukan lagi untuk mengurus dan penyelenggaran.
“Tunggakan sampai berpuluh-puluh ribu tak pernah dibayar, tak boleh begitu…Jadi kita kena ubah cara itu. DBKL akan terus berbaik dengan semua persatuan sukan,” katanya pada sidang media selepas majlis pertukaran dokumen dan penyampaian insentif sukan Wilayah Persekutuan semalam.
Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) dilapor perlu mengosongkan Stadium Hoki Kuala Lumpur, manakala Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), tidak tahu jika mereka boleh terus kekal di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras, selepas kontrak sedia ada tamat pada awal tahun depan.
Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA) pula meminta DBKL mempercepatkan pembinaan stadium baharu, selepas Stadium Badminton Kuala Lumpur dirobohkan untuk pembangunan pada 2017.
Terdahulu Annuar menyampaikan insentif wang tunai berjumlah RM93,700 kepada lebih 40 atlet dari 27 jenis sukan yang meraih pingat pada Sukan SEA ke-30 di Filipina, Disember tahun lepas.
Atlet dari Wilayah Persekutuan yang terdiri dari Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan meraih hampir separuh daripada 55 pingat emas negara, apabila membawa pulang 23 pingat emas, 11 perak dan 15 gangsa.
Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, buat masa ini tiada keputusan mengenai kebenaran untuk atlet kebangsaan menyertai kejohanan di luar negara.
“Belum ada maklumat rasmi daripada Kementerian Belia dan Sukan mahupun Majlis Keselamatan Negara mengenai prosedur operasi standard dan kebenaran bertanding di luar negara,” katanya. – BERNAMA