PENJANA, Usaha Dan Rakyat Perlu Seiring

NEGARA telah memasuki fasa pemulihan COVID-19, setelah hampir 3 bulan kita menjalani kehidupan di fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Alhamdulillah, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula 10 Jun hingga 31 Ogos 2020 telah melegakan rakyat dengan kelonggaran dan kebenaran beroperasi hampir semua sektor pendidikan, ekonomi dan sosial.

Fasa ini juga akan menjadi ukuran bagaimana penstrukturan dan pengemblengan semula ekosistem ekonomi mampu dilaksanakan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang telah diumumkan kerajaan Jumaat lalu. PENJANA adalah ‘exit strategy’ jangka pendek bagi merancakkan dan memulihkan ekonomi negara secara berperingkat-peringkat.

Bagi saya apa yang penting PENJANA adalah bersifat ‘people centric’ dan mampu mencapai objektifnya jika pelaksanaan dan agihannya dilakukan seperti yang dirancang tanpa karenah birokrasi.

Secara umum, 40 inisiatif yang bernilai RM35 bilion di bawah PENJANA merupakan peluang yang perlu dimanfaatkan oleh rakyat dan pemain industri bagi memulihkan kegiatan ekonomi negara. Kita perlu sedar bahawa memulihkan ekonomi pasca COVID-19 bukannya sesuatu yang boleh berlaku dalam jangka masa yang singkat.

Norma baharu kehidupan juga berkaitan dengan norma baharu sektor ekonomi. Penerokaan peluang baharu, sumber tenaga berkemahiran dan berteknologi khususnya dalam e-dagang adalah norma baharu dalam sektor ekonomi dan ia adalah keperluan bukan lagi pilihan.

Rakyat dan negara perlu bersedia menghadapi segala kemungkinan akibat kemelesatan ekonomi luar jangka sepertimana kenyataan yang dikeluarkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) “ekonomi global mungkin akan mengalami kemelesetan paling teruk sejak zaman kemelesetan pada tahun 1930-an, dan jauh lebih buruk daripada krisis kewangan global 2009”.

Negara kita juga tidak terkecuali berhadapan dengan kemelesatan ekonomi. Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjur ekonomi Malaysia akan berkembang pada kadar antara -2.0 peratus hingga 0.5 peratus pada tahun ini.

Tidak dinafikan ramai di kalangan rakyat sedang bergelut menguruskan kewangan sehingga memberi impak kepada kesejahteraan ekonomi diri dan keluarga. Hasil kajian secara dalam talian (pusingan 1) Jabatan Perangkaan Malaysia untuk menilai kesan COVID-19 kepada ekonomi dan individu bagi tempoh antara 18 hingga 31 Mac lalu, yang membabitkan sejumlah 168,182 responden berusia 15 tahun dan ke atas mendapati sebanyak 71.4 peratus responden yang bekerja sendiri mempunyai simpanan yang hanya mencukupi untuk tempoh kurang daripada sebulan.

Manakala 82.7 peratus responden kalangan pekerja swasta didapati mempunyai simpanan kewangan yang mencukupi untuk tempoh dua bulan.

Dapatan ini jelas menunjukkan PENJANA mampu menjadi solusi jangka pendek rakyat khususnya majikan dan pemain-pemain industri kecil dan sederhana (SME) yang diselubungi kegelisahan dan kebimbangan melampau (anxiety) kerana tekanan kewangan (financial stress) akibat kemorosotan hasil jualan, kehilangan punca pendapatan dan kos operasi melebihi pendapatan.

Inisiatif yang dibuat melalui PENJANA juga bertepatan dengan konsep ekonomi Islam dan Maqasid yang menekankan empat intipati penting bagi menjaga kemaslahatan manusia dan rakyat iaitu:

Jalb al-Masalih : Mencapai kepentingan di dalam kehidupan.

Dar Al- Mafasid : Menolak kerosakan yang bakal timbul dalam masyarakat.

Sadd al-Dharar : Menyekat kepentingan buruk.

Taghayyur al-Zaman : Mementingkan faktor peredaran zaman.

Di samping PENJANA, tindak balas dan kerangka pemikiran individu, kelompok dan rakyat kepada perubahan persekitaran akibat pandemik COVID-19 juga penting bagi memastikan kebimbangan melampau dan tekanan kewangan dapat diatasi. Menurut Profesor Dr Carol S. Dweck, pakar perunding psikologi di Universiti Stanford, Amerika Syarikat dalam bukunya Mindset, “terdapat dua kerangka pemikiran yang menentukan pola dan corak persepsi manusia semasa berinteraksi dengan persekitarannya. Pertama kerangka pemikiran jumud, tertutup dan terbelenggu (fixed mindset) manakala yang kedua adalah kerangka pemikiran dinamik, bercambah dan berkembang (growth mindset)”

Kerangka pemikiran jumud (fixed mindset) menganggap perubahan dan norma baharu akibat pandemik COVID-19 sebagai satu bencana, musibah dan kemelut yang menyebabkan kemelesetan ekonomi serta menghancurkan kehidupan rutin mereka.

Manakala pemikiran dinamik (growth mindset) pula melihat perubahan akibat pandemik sebagai satu ruang dan peluang mereka melakukan penambahbaikan menuju ke arah kehidupan lebih sempurna disesuaikan dengan norma baharu dan keperluan.

Persepsi yang berlawanan ini terhasil daripada kerangka pemikiran yang berbeza bergantung kepada tahap penerimaan seseorang terhadap pandemik COVID-19 dan kemelesetan ekonomi negara dan dunia. Bagi memastikan usaha kerajaan memulihkan ekonomi jangka pendek negara berjaya melalui PENJANA, kerangka pemikiran rakyat juga perlu seiring dengan usaha ini.

Saya menyarankan kepada kementerian dan agensi yang berkaitan memperbanyakkan program dan sesi penerangan berkaitan PENJANA melalui media elektronik dan bersemuka seperti turun kelapangan bertemu dengan pemain-pemain industri kecil dan sederhana memberikan khidmat nasihat berkaitan pengurusan kewangan, perniagaan dan motivasi. Bukanlah sesuatu yang mudah untuk “membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul”, tetapi dia bukanlah sesuatu yang mustahil.

AHMAD ZAHID HAMIDI
#menghayatiperjuanganparti
#penjanasatusolusi
#kitajagakita
#secangkirkopi55

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.