Pendaftaran Pengundi 18 Tahun Belum Dilaksana – SPR

PUTRAJAYA, 7 Jun- Pendaftaran untuk pengundi 18 tahun masih belum dilaksanakan lagi, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusinya Datuk Azhar Azizan Harun berkata ini sekali gus menafikan maklumat yang tular di media sosial yang mengajak rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas untuk mendaftar sebagai pengundi.

“Pendaftaran pengundi 18 tahun akan dilaksanakan serentak dengan pendaftaran pemilih secara automatik setelah segala persiapan SPR diselesaikan termasuklah penyediaan pindaan kepada Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 dan undang-undang lain yang berkaitan, penyediaan prosedur operasi standard (SOP) serta penyediaan sistem dan infrastruktur.

“Kesemua persiapan ini dijangka selesai selewat-lewatnya pada Julai tahun hadapan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Azhar berkata SPR dari semasa ke semasa akan mengeluarkan kenyataan media rasmi untuk sebarang perkembangan terkini dan menyeru kepada orang ramai untuk merujuk terlebih dahulu kepada SPR melalui laman rasmi www.spr.gov.my atau Facebook rasmi SPR atau menghubungi talian 03-8892 7200 bagi mengelakkan penularan berita palsu.- BERNAMA