Kalau Dah Tahu Lebih Baik Tak Ada Pilihan Raya… Jangan Main Politik – Shahril

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan menggesa pembangkang untuk tidak bermain politik dengan membuat kenyataan yang tidak konsisten sehingga merisikokan pilihan raya berlaku.

Beliau berkata demikian ekoran kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengakui pembubaran Parlimen bagi membolehkan pilihan raya diadakan tidak sesuai dilaksanakan pada masa ini berikutan isu COVID-19.

“Ia adalah kenyataan yang tidak konsisten, tidak ikhlas kerana kalau betul Tun Mahathir merasakan ini bukanlah masa buat pilihan raya jadi janganlah buat politik yang boleh merisikokan pilihan raya tapi kalau nak merisikokan kerajaan yang ada ini maka mereka perlulah bersedia untuk pilihan raya.

“Kalau nak juga berpolitik maka UMNO sebenarnya tak ada masalah tapi kita tak desak perkara ini kerana kita fikirkan tentang situasi hari ini dengan COVID-19, dengan keadaan ekonomi tapi kalau itu yang mereka cuba mainkan politik… maka kita ‘ok’ saja… tapi bukan kita yang mulakan perkara itu,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam Segmen Wawancara Bersama Ketua Penerangan UMNO Malaysia, yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook UMNO-Online, malam tadi.

Terang Shahril, UMNO sentiasa konsisten, malah sebelum terbentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) ada sidang media Muafakat Nasional iaitu UMNO-PAS bersama MCA dan MIC yang menjelaskan bahawa tujuan menyokong bukanlah untuk membubarkan Parlimen tetapi menyerahkan kepada kebijaksanaan YDP Agong.

“Pada waktu itu Parlimen tak dibubarkan dan kita pun tak bising-bising, kita menyokong satu kerajaan yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin selepas Pakatan Harapan (PH) sendiri yang jatuh… tak ada kena mengena dengan UMNO atau PAS, atau kata-kata cucuk belakanglah.

“Apa-apa pun tak akan berlaku andai kata Tun Mahathir tak letak jawatan, andai kata PH tak berbelah bahagi nak bagi antara Anwar atau Mahathir… jadi jangan salahkan UMNO, jangan salahkan PAS… mereka sendiri yang menjatuhkan kerajaan. Kita hanya datang selepas pilihan Parlimen tidak dibubarkan.”

Katanya, sekarang ini selagi mana kerajaan ini bertahan maka akan terus disokong.

“Presiden UMNO pun dah kata kita akan pertahankan ahli-ahli Parlimen UMNO bersama dengan PAS, ahli-ahli Parlimen BN pun akan sokong selama mana ia bertahan.

“Andai kata ia tidak bertahan disebabkan ada perpindahan-perpindakan sokongan… kalau kerajaan hari ini jatuh maka UMNO pun ‘ok’ untuk pergi ke pilihan raya. Kita tidak ada rasa takut untuk mengadap rakyat kerana kita tahu kerajaan yang baik adalah kerajaan yang stabil tapi untuk menggangu kestabilan ini bukan UMNO, bukan kawan-kawan kita dalam PN tapi mereka yang ada dalam PH… dalam pembangkang.

“Apabila mereka mengganggu kestabilan dan tiba-tiba mereka kata lebih baik tak ada pilihan raya maka mereka pun tak konsisten, kalau dah tahu lebih baik tak ada pilihan raya jangalah merisikokan dengan membuat perang saraf untuk cuba mengatakan akan ada orang untuk sokong dia dan sebagainya,” bidasnya lagi yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.