Kerajaan Perak Bantu Gelandangan Peroleh Kerja – Dr Wan Norashikin

IPOH, 5 Jun – Kerajaan negeri Perak telah membantu seramai 10 daripada 89 gelandangan yang ditempatkan di Pusat Penempatan Gelandangan (PPG) Semasa COVID-19 negeri Perak, memperoleh pekerjaan.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata kesemua mereka ditawarkan bekerja oleh majikan yang terdiri daripada pengusaha kedai mencuci kereta, pengusaha kedai makan serta pemilik ladang dan kebun.

Pengambilan melalui sesi temu duga diadakan di pusat berkenaan, dua minggu selepas mereka ditempatkan di PPG itu pada 18 April lepas, katanya.

“Selain itu, 15 dituntut waris, seorang diambil tindakan lanjut oleh polis, 22 dirujuk kepada Agensi Antidadah Kebangsaan, empat keluar tanpa kebenaran, tiga menerima rawatan di Hospital Batu Gajah dan empat dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan bagi menjalani rawatan mental.

“Tiga lagi dihantar ke PPG di Kamunting, Taiping manakala 27 ditempatkan di Rumah Seri Kenangan di bawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan di rumah penjagaan diuruskan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sekitar Ipoh,” katanya selepas menyempurnakan majlis penutupan PPG itu di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM230,000 untuk membaik pulih dua kuarters di Jalan Simpang, Taiping bagi membangunkan sebuah Pusat Sehenti Rakan Jalanan di daerah Larut Matang Selama.

Wan Norashikin berkata pusat yang dijangka siap dalam tempoh sebulan lagi itu akan menempatkan 20 gelandangan masing-masing 10 lelaki dan 10 wanita dikelolakan oleh NGO. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.