Ahli Parlimen Sri Gading Dicabar Lepaskan Kerusi, Perbaharui Mandat Rakyat

KUALA LUMPUR, 5 Jun – Bekas Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata keputusan ahli Parlimen kawasan tersebut, Dr Shahruddin Md Salleh meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya tetapi masih berada bersama Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menunjukkan Dr. Shaharuddin mahu menimbulkan kekecohan dan ingin mengheret negara serta rakyat ke kancah krisis politik sekali lagi.

Tegasnya, sekiranya benar mementingkan mandat rakyat yang diterima pada Pilihan Raya Umum (PRU) lepas, Ab Aziz mencabar Dr Shahruddin melepaskan kerusi Parlimen Sri Gading untuk memperbaharui mandat tersebut.

“Hanya dengan kaedah ini barulah rakyat akan percaya bahawa keputusan meletakkan jawatan ini demi kepentingan rakyat dan bukan bermain politik,” tegasnya dalam satu kenyataan di Facebook.

Oleh kerana itulah tambahnya lagi, alasan Dr Shahruddin yang meletakkan jawatan kerana mementingkan rakyat Sri Gading adalah terlalu dangkal.

Kata Ab Aziz, ini adalah kerana sudah tentu dengan berjawatan timbalan menteri, Shahruddin mempunyai kedudukan yang lebih baik untuk membantu rakyat berbanding ahli parlimen biasa.

“Apa yang nyata di mata rakyat adalah Dr. Shahruddin telah meletakkan kepentingan politik lebih jauh ke hadapan berbanding kepentingan rakyat.

“Bukan setakat itu sahaja, Dr. Shahruddin juga telah membuat keputusan ini tatkala kerajaan di bawah kepimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin ini sedang bertungkus-lumus sedaya upaya melawan wabak COVID-19 sekaligus menghidupkan ekonomi kembali,” ujarnya lagi.

Tambahnya lagi, ia juga jelas memperlihatkan bahawa Dr. Shahruddin langsung tidak berminat dan berhasrat untuk bersama-sama kepimpinan negara dan seluruh warga kerja kerajaan untuk memulihkan negara tetapi mementingkan survival politik partinya sendiri sahaja. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit