Taati, Hormati Titah Sultan Johor, Cukup-cukuplah Berpolitik


JOHOR BAHRU, 4 Jun – Semua Wakil Rakyat dan pimpinan parti politik di Johor perlu mentaati dan menghormati titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang memberi amaran untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serta-merta jika perebutan kuasa dalam kalangan wakil rakyat negeri ini terus berlaku, tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah.

Katanya, belum pun berakhir penularan wabak COVID-19, kini muncul pula satu lagi wabak iaitu ‘merebut kuasa’ sehingga Tuanku Sultan bertitah memberikan amaran membubarkan DUN jika ia terus berlarutan.

“Taati dan hormati titah serta mandat Tuanku Sultan Johor. Cukup-cukuplah berpolitik,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluakan dalam laman facebooknya.

Semalam dalam titah Baginda, Sultan Ibrahim melahirkan rasa kecewa dengan kemelut politik yang masih berlaku di negeri ini, apabila ada pemimpin yang gila kuasa dan terus merebut jawatan demi kepentingan diri mereka.

“Daripada titah Baginda, dengan jelas dapat dilihat bahawa Sultan Ibrahim kecewa apabila terdapat pihak yang lebih mengutamakan kuasa dan politik daripada kesusahan yang dialami rakyat.

“Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor berpendapat jika ada wakil rakyat dan pimpinan parti politik yang ingkar dengan titah Sultan Ibrahim, mereka sewajarnya diusir daripada negeri ini.

“Langkah itu perlu dilaksanakan agar penyatuan dalam kalangan Perikatan Nasional (PN) terus bersama dengan mandat Tuanku Sultan yang telah memilih kepimpinan PN diterajui Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad untuk mentadbir negeri ini.”

Tegasnya, jika ada sebarang ketidakpuashatian, berundinglah secara berhemah bukannya dengan terus merebut kuasa yang kesannya sangat tidak baik kepada rakyat dan negeri ini yang ketika ini sedang berdepan dengan penularan pandemik COVID-19.

“Janganlah terus mengheret rakyat yang cukup sengsara mengharungi kehidupan demi ‘mencari sesuap nasi’ akibat ancaman COVID-19,” katanya lagi. – UMNO Online