Rentas Semenanjung-Sabah-Sarawak Bagi Suami Atau Isteri Perlu Kebenaran Polis

PUTRAJAYA, 1 Jun – Suami atau isteri yang perlu merentas negeri dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak atau sebaliknya untuk berjumpa pasangan dan keluarga masing-masing perlu mendapatkan kebenaran daripada polis terlebih dulu, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kebenaran merentas negeri untuk suami atau isteri yang diberikan kerajaan bukanlah secara automatik.

“Sebelum suami atau isteri membeli tiket penerbangan (untuk merentas negeri di antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak untuk bertemu pasangan dan keluarga) dapatkan kebenaran polis dulu,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Perdana Putra di sini, hari ini.

Ismail Sabri, yang juga Menteri Pertahanan, berkata Sarawak mengenakan syarat lebih ketat bagi pergerakan berdasarkan peraturan yang diwartakan sebelum ini.

“Untuk Sarawak rentas daerah pun tidak dibenarkan kecuali mendapat kebenaran polis,” katanya.

Menurut beliau, jika seseorang dari Semenanjung dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, hendak ke daerah lain pun tidak dibenarkan tanpa kebenaran polis.

Ismail Sabri berkata aktiviti merentas negeri tidak dibenarkan sepanjang PKPB sehingga 9 Jun kecuali atas empat alasan iaitu kecemasan, kematian, bekerja dan pasangan suami isteri yang terpisah.

Pergerakan rentas negeri untuk keempat-empat tujuan itu tetap memerlukan kebenaran polis, katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 43 individu atas kesalahan cuba rentas negeri semalam dan mengeluarkan kompaun terhadap 356 individu atas pelbagai kesalahan kerana ingkar PKPB.

Sebanyak 134 kompaun dikeluarkan dalam sekatan jalan raya, sementara tiga negeri mencatatkan pengeluaran kompaun tertinggi kerana cubaan rentas negeri iaitu Perak (40 kompaun), Selangor (29 kompaun) dan Pulau Pinang (23 kompaun), katanya.

Mengenai penghantaran pulang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT), Ismail Sabri berkata tiada pergerakan penghantaran pulang dijadualkan hari ini sempena sambutan Hari Gawai dan Pesta Kaamatan.

Seramai 1,617 penuntut masih berada di kampus dan Kementerian Pengajian Tinggi sedang membuat perancangan untuk menghantar mereka pulang. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit