Agong, Ahli Parlimen Iktiraf Pengorbanan Petugas Barisan Hadapan COVID-19

KUALA LUMPUR, 18 Mei – Jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi wabak COVID-19 di Malaysia, hari ini mendapat pengiktirafan negara oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan semua Ahli Parlimen serta Senator.

Penghargaan negara itu diberikan Seri Paduka, yang mengajak Yang Dipertua Dewan Negara, Yang Dipertua Dewan Rakyat, semua Ahli Parlimen, Senator dan tetamu jemputan yang menghadiri Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat, bangun berdiri dan memberi tepukan gemuruh, simbolik penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan.

Menyifatkan istiadat pembukaan persidangan Parlimen kali ini berbeza daripada norma dan kelazimannya berikutan wabak COVID-19 serta amat bermakna kerana berlangsung dalam bulan suci Ramadan, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa syukur kerana rakyat jelata bersatu padu sebagai Bangsa Malaysia yang kuat, cekal dan berdisiplin menghadapi ancaman wabak yang membawa maut itu.

Dalam saat getir yang dihadapi ini, Seri Paduka bertitah petugas barisan hadapan negara terutamanya yang berada dalam perkhidmatan kesihatan; tentera, polis, bomba, imigresen, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan lain-lain agensi terlibat telah tampil dengan penuh dedikasi.

“Pengorbanan mereka tidak pernah mengenal erti penat mahupun takut hinggakan nyawa dan keselamatan diri sendiri menjadi taruhan demi menjaga kemaslahatan dan kepentingan orang ramai.

“Justeru, sebagai tanda penghargaan negara; marilah bersama-sama dengan Beta untuk berdiri dan memberikan tepukan yang gemuruh kepada semua wira dan wirawati petugas barisan hadapan negara,” titah Al-Sultan Abdullah.

Sejurus itu, semua Ahli Parlimen dan Senator bangun berdiri seketika memberi tepukan gemuruh sebagai penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan negara.

Seri Paduka bertitah, Malaysia ketika ini masih lagi dalam usaha memerangi penularan wabak COVID-19 yang mula dikesan menjangkiti rakyat Malaysia pada awal Februari lepas.

Setakat semalam, Malaysia mencatatkan 6,894 kes positif COVID-19 dengan sejumlah 5,571 orang telah dibenarkan keluar wad. Sebanyak 113 kes kematian direkodkan di negara ini.

“Kepada rakyat jelata sekalian, teruskan menjaga kesihatan diri dan keluarga serta persekitaran setempat. Hindari daripada berhimpun secara ramai dan teruskan mengamalkan penjarakan sosial.

“Mudah-mudahan Malaysia akan berjaya menangani pandemik COVID-19 ini dengan jayanya,” titah Al-Sultan Abdullah. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit