Putrajaya Bakal Miliki Masjid Ketiga – Annuar Musa

PUTRAJAYA, 10 Mei – Putrajaya bakal memiliki masjid ketiga memandangkan populasi penduduk kawasan itu dijangka bertambah sehingga 300,000 orang dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata tapak pembinaan masjid itu dikenal pasti di Presint 14 di sini dan pihaknya sedang meneliti pembinaan projek berkenaan yang berkonsepkan ‘Al-Quran.’

“Kami juga sedang meneliti cadangan untuk membina ‘Quran Village’ di tapak yang sama dengan pembinaan masjid ketiga itu bagi memartabatkan budaya Islamik dan ilmu al-Quran khususnya kepada pelancong dari luar negara.

“Sekarang kita ada lebih 120,000 penduduk Putrajaya dan kami sedang merancang untuk menambah pembinaan rumah di sini bermakna keperluan masjid itu akan bertambah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Al-Quran Al-Karim Mushaf Putrajaya di sini hari ini.

Pada masa ini, Putrajaya memiliki dua buah masjid iaitu Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra.

Beliau berkata pihaknya juga berusaha untuk menggalakkan lebih ramai rakyat membeli rumah dan premis di Putrajaya supaya kawasan itu tidak hanya terhad kepada pegawai kerajaan sahaja.

Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) hari ini melancarkan Al-Quran Al-Karim Mushaf Putrajaya sempena Sambutan Jubli Perak Putrajaya 2020 dan Nuzul Al-Quran 1441H.

Annuar berkata penerbitan al-Quran yang mempunyai identiti tersendiri itu adalah usaha sama antara Perbadanan Putrajaya, Yayasan Restu dan Nasyrul Quran Putrajaya dengan sokongan KWP bagi menyemarakkan pembudayaan al-Quran dalam kalangan masyarakat serta mewujudkan generasi al-Quran sepanjang zaman.

“Sumber rekaan struktur dan motif Al-Quran Al-Karim Mushaf Putrajaya diperoleh dari pelbagai kategori sumber seperti melalui artifak dan warisan seni bina, reka tekstil, reka logam, hias manuskrip dan sebagainya.

“Sumber motif turut diperoleh dari landskap, flora dan persekitaran di Putrajaya di samping daripada maklumat lain seperti sumber ekonomi, pentadbiran dan politik, sains dan teknologi, pendidikan dan sebagainya.

“Ia diterbitkan dengan versi MUFIQ (Mudah Untuk Fahami Isi Quran) dalam versi Bahasa Melayu iaitu Al-Quran Al-Karim bertajwid dengan terjemahan berserta ensiklopedia al-Quran selain menggunakan gaya seni Khat Nasakh pada bahagian ayat dan Khat Thuluth pada bahagian tajuk surah dan bilangan juzuk,” katanya.

Beliau berkata sasaran bagi percetakan al-Quran itu adalah sebanyak 25,000 naskhah bagi diwakafkan kepada semua masjid, sekolah dan perpustakaan sekitar Putrajaya dengan cetakan awal sebanyak 5,000 naskhah.

Annuar berkata jumlah kos yang diperuntukkan bagi projek ini adalah RM2 juta dengan RM1 juta disumbangkan oleh KWP manakala RM1 juta menerusi sumbangan pelbagai pihak. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit