Disiplin Rakyat Antara Faktor Penting Pandemik COVID-19 Dapat Dikekang – Norshida

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Mampukah negara mengekang wabak pandemik COVID-19 tentunya menjadi persoalan yang akan bermain di setiap fikiran rakyat negara ini.

Begitu juga bagi Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Norshida Ibrahim yang melihat perkara ini sebenarnya terletak kepada semua pihak dan seluruh rakyat untuk menjayakannya.

“Kita boleh jangkakan kemungkinan berlaku penularan COVID-19 akan ‘meletup’ dan mencetuskan kluster baharu sekiranya sikap segelintir rakyat yang masih belum peka tentang risiko jangkitan COVID-19 setelah Kerajaan melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Apa berlaku sekarang ini selepas kelonggaran diberikan? Kita ada kluster baharu seperti pekerja asing kilang di Pedas, pekerja tapak pembinaan dan pengawal keselamatan di pasar raya. Kluster ini akan timbul ibarat ‘cendawan tumbuh selepas hujan’.

“Kita tidak menolak kemungkinan akan berlaku penularan berskala besar seperti kluster perhimpunan Masjid Seri Petaling setelah virus ini matang dalam badan seseorang pesakit COVID-19. Kes jangkitan baharu akan sentiasa ada. Rakyat Malaysia perlu bersedia kerana sesiapa sahaja boleh jadi pembawa.

“PKPB telah dilaksanakan oleh Kerajaan namun kita lihat penguatkuasaan PKPB ini berada di tahap yang amat rendah sekali. Rakyat apabila berada di dalam pasaraya atau tempat membeli-belah sudah mula terleka dan terlupa dengan bahaya penularan virus COVID-19,” katanya.

Katanya lagi, adakah rakyat masih mahu lagi PKP ini terpaksa di laksanakan semula sekiranya terdapat pertambahan kluster baru dan pesakit baru setiap hari.

“Jadi, disiplin diri setiap rakyat amat diperlukan untuk kita sama-sama membantu Kerajaan memutuskan rantaian penularan pandemik COVID-19 ini,” tambahnya.

Berikut merupakan kupasan penuh beliau:-

Pandemik COVID-19

Apakah akan terjadi gelombang serius yang kritikal buat Malaysia?

Penularan virus COVID-19 telah melumpuhkan seluruh ekonomi Negara Dunia termasuk Negara Malaysia. Jumlah pesakit COVID-19 di serata semakin hari semakin meningkat naik dan setakat pada hari tiada lagi vaksin yang khusus di temui untuk menyembuhkan pesakit COVID-19.

Pesakit yang telah sembuh setelah terkena jangkitan COVID-19 berdasarkan sistem imunisasi badan pesakit tersebut. Tinggi tahap imunisasi maka tinggilah harapan untuk kembali sihat dan sekiranya rendah tahap imunisasi badan maka tinggilah risiko untuk tahap kesihatan yang lebih serius.

Perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19 sudah pun di fasa keempat yang akan berakhir pada 12 Mei ini.

Tempoh PKP yang berlanjutan hampir dua bulan itu dianggap masih belum cukup untuk mengawal penularan wabak dalam komuniti. Saya melihat selepas Kerajaan membuka semula Sektor Ekonomi dalam Negara, terdapat rakyat yang masih belum peka tentang bahaya jangkitan COVID-19 masih gagal melaksanakan norma kehidupan baharu yang telah digariskan oleh pihak Kerajaan.

Sekatan pemeriksaan kesihatan di pintu masuk pasaraya, pasar awam, kedai serbaneka dan lain-lain tempat tumpuan awam, tetapi apabila kita berada di dalam premis tersebut, ramai yang terlupa dan terleka untuk mengekalkan jarak sosial yang selamat.

Kita melihat penelitian semasa terhadap kadar penularan wabak di Malaysia ketika ini menyaksikan dua daripada 1,000 individu yang disaring disahkan positif COVID-19 iaitu 0.2 peratus.

Kita boleh jangkakan kemungkinan berlaku penularan COVID-19 akan ‘meletup’ dan mencetuskan kluster baharu sekiranya sikap segelintir rakyat yang masih belum peka tentang risiko jangkitan Covid19 setelah Kerajaan melonggarkan PKP kepada PKPB.

Apa berlaku sekarang ini selepas kelonggaran diberikan, kita ada kluster baharu seperti pekerja asing kilang di Pedas, pekerja tapak pembinaan dan pengawal keselamatan di pasar raya.

Kluster ini akan timbul ibarat ‘cendawan tumbuh selepas hujan’. Kita tidak menolak kemungkinan akan berlaku penularan berskala besar seperti kluster perhimpunan Masjid Seri Petaling setelah virus ini matang dalam badan seseorang pesakit COVID-19. Kes jangkitan baharu akan sentiasa ada. Rakyat Malaysia perlu bersedia kerana sesiapa sahaja boleh jadi pembawa.

PKPB telah dilaksanakan oleh Kerajaan namun kita lihat penguatkuasaan PKPB ini berada di tahap yang amat rendah sekali. Rakyat apabila berada di dalam Pasaraya atau tempat membeli belah sudah mula terleka dan terlupa dengan bahaya penularan virus COVID-19.

Kita harus sentiasa sedar bahawa panademik COVID-19 ini membawa kesan terhadap ekonomi Malaysia berdasarkan kesan negatif ke atas pelaburan langsung asing (FDI), komoditi dan pelancongan selain kejutan domestik susulan PKP yang lalu.

Adakah kita masih mahu lagi PKP ini terpaksa di laksanakan semula sekiranya terdapat pertambahan kluster baru dan pesakit baru setiap hari. Jadi, disiplin diri setiap rakyat amat diperlukan untuk kita sama-sama membantu Kerajaan memutuskan rantaian penularan pandamik COVID-19 ini.

Malaysia adalah antara ekonomi yang amat berkaitan dengan rantaian bekalan global. Kita melihat perdagangan telah merosot sama seperti fasa paling teruk krisis kewangan global 2008/2009. Ramai rakyat telah terkesan dan kehilangan sumber pendapatan dan pekerjaan.

Kita perlu mengakui fakta bahawa pemulihan tidak akan sama di seluruh sektor dan juga negara. Walaupun Kerajaan menunjukkan komitmennya dengan pantas dan menyediakan sejumlah sumber yang besar sebagai tindak balas terhadap kesan wabak COVID-19 ini, namun pemulihan pula dijangka mengambil masa bertahun-tahun.

Rakyat perlu meneruskan kerjasama dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19 di Malaysia. Antara kerjasama yang sangat penting ialah kesedaran untuk mengetahui bahawa setiap diri kita ini adalah pembawa kepada COVID-19. Oleh itu, semua kita perlu menggunakan topeng penutup hidung dan mulut serta mengamalkan langkah-langkah pencegahan.

Ini termasuklah menjaga jarak sosial, menjaga kebersihan diri dan sentiasa berada di rumah jika tidak ada keperluan penting untuk berada di luar. Ia bagi mengelakkan kita daripada dijangkiti COVID-19 dan kemudiannya menjangkiti orang lain.

Kesemua pihak perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang akan ditetapkan pihak Kesihatan dalam memastikan langkah pencegahan tetap diamalkan ketika berurusan pada perniagaan atau premis yang dibuka semula.

Rakyat juga perlu bersyukur atas tindakan pantas kerajaan yang mengumumkan pelaksanaan PKP sebaik sahaja wabak itu mula memasuki negara ini.

Tindakan pantas itu perlu dipuji kerana telah membantu dari segi mengekang penularan wabak ini dengan lebih agresif. Sebagai rakyat yang bertanggungjawab kita perlu bersikap matang, rasional, dan berdisiplin.

Patuhilah PKPB, duduk di rumah dan keluar rumah jika ada keperluan mendesak sahaja. Ayuh kita jadi masyarakat yang jujur. Jika tidak berkemampuan untuk memberi bantuan berbentuk fizikal, setidaknya kita bantu petugas barisan hadapan dengan tidak sewenang-wenangnya ingkar arahan PKPB demi kepentingan diri sendiri.

Yakinlah bahawa sekiranya kita terus mendisiplinkan diri kita dengan norma kehidupan baharu, kita semua dapat bersatu hati memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 ini dan tiada kluster baru atau gelombang baru yang lebih serius boleh melanda Negara Malaysia. Kita perlu sentiasa belajar dari kesilapan kerana belajar dari kesilapan boleh membawa kejayaan gemilang buat Malaysia. Sayangi Malaysia.

Kita lawan COVID-19

Norshida binti Ibrahim,
Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia.

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit