Ramadan Al-Mubarak; Mujahadah Dan Pengorbanan
PANDEMIK COVID-19 telah mengubah tradisi umat Islam menjalani ibadah puasa. Tahun ini Ramadan disambut dalam suasana norma baharu ‘new normal’ yang nyata berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Tiada bazar Ramadan, tiada buffet Ramadan, tiada ‘iftar jamaei’, solat terawih, tadarus al-Quran dan moreh di masjid dan surau. Semoga suasana baharu ini tidak menjadi penghalang bagi kita melaksanakan ibadat puasa dengan sebaiknya.
Tidak dinafikan kita rindukan untuk menunaikan solat tarawih berjemaah di masjid dan kemeriahan bazar Ramadan yang menjual pelbagai juadah seperti murtabak, popia, ayam golek dan beraneka jenis minuman. Tetapi itulah pengorbanan yang perlu dilakukan bagi memutuskan rantaian pandemik COVID-19 dan #kitaharusmenang dalam perjuangan ini.
Ramadan cukup sinonim dengan bulan ‘mujahadah’ dan pengorbanan, melalui Ramadan Allah SWT menguji hambanya agar mereka berusaha melawan dan menundukkan kehendak hawa nafsu, teringin makan tetapi tidak boleh makan, dahaga tetapi tidak boleh minum bahkan pertuturan, penglihatan juga perlu dijaga. Imam al-Ghazali berkata:
“Antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara yang disukai Allah daripada keinginan nafsunya sama ada dalam aspek zahir atau batin”.
Apabila berbicara berkaitan ujian, mujahadah dan pengorbanan lembaran kisah Talut dan Jalut bersama tenteranya boleh dijadikan sebagai pengajaran atau ‘ibrah’. Allah telah menguji tentera Talut dengan ujian yang memerlukan Talut dan tenteranya melakukan mujahadah dan pengorbanan. Allah berfirman yang bermaksud, “Kemudian apabila Talut keluar bersama-sama tenteranya, berkatalah dia (Talut): “Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya”. (al-Baqarah ayat 249)
Talut telah memerintahkan tenteranya untuk menyeberangi sungai dan sungai itulah satu daripada ujian yang memerlukan pengorbanan untuk menempuhinya. Tetapi malangnya, sebilangan besar tenteranya tidak mengendahkan arahan Talut supaya jangan minum air dari sungai tersebut. Sebahagian ulama menyebutkan daripada 80 ribu orang tentera Talut hanya 4 ribu orang sahaja yang tidak minum air di sungai tersebut. Walaupun dengan kuantiti tentera yang berkurangan Talut tetap meneruskan perjuangannya bersama tentera yang melepasi ujian dan rintangan tersebut. Allah berfirman lagi, “Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): “Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya”. Berkata pula orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Allah: “Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar”. (al-Baqarah ayat 249)
Akhirnya, selepas mengharungi pelbagai ujian dan pengorbanan Talut dan tenteranya dikurniakan kemenangan oleh Allah dengan tumpasnya Jalut di tangan Nabi Daud. Biarpun Talut mara menentang dengan kuantiti yang kecil, tetapi kualiti tenteranya yang tahan diuji merupakan khazanah yang paling berharga.
UMNO dan BN telah melalui pelbagai ujian semenjak penubuhannya. Kita telah diuji sebagai pembangkang selama 22 bulan. Sepanjang tempoh tersebut kita telah melalui pelbagai mehnah dan tribulasi yang menyedarkan kita harga sebuah perjuangan, erti setiakawan dan nilai perjuangan. Dalam tempoh tersebut juga, kita telah dikurniakan hikmat terbesar dengan terbentuknya Muafakat Nasional (MN) antara UMNO dan PAS yang membuka lembaran baharu politik tanah air. Melalui MN persefahaman dibentuk, diserasikan, diseimbangkan dan penyatuan dibina secara berperingkat-peringkat sehinggalah termeterainya Piagam Muafakat Nasional pada 14 September tahun lalu. Ketika itu rakyat merasai dan melihat MN bukan sahaja persefahaman dan ta’awun siyasi antara UMNO dan PAS tetapi MN adalah medium penyelesaian terhadap permasalahan politik tanah air. Saya yakin Muafakat Nasional akan terus subur dan diperteguhkan kerana MN adalah agenda ummah yang melangkaui agenda kepartian dan kepentingan.
Ketika ini UMNO, BN dan MN sekali lagi diuji berada di dalam kerajaan dan menjadi sebahagian daripada kerajaan, setelah 22 bulan berada di luar kerajaan. Saya menganggap ini adalah ujian yang berat yang perlu diharungi bersama dan memerlukan pengorbanan. Sama ada kita menganggap ini adalah peluang yang tidak boleh dipersiakan atau sebaliknya. Saya yakin ini merupakan takdir yang Allah berikan kepada kita dan pasti ada hikmah di sebaliknya.
Apakah kita mampu menempuhi ujian ini? Bersandarkan kepada pengalaman politik UMNO, BN dan MN mampu mengharunginya selagi kita ‘Menghayati Perjuangan Parti’ terus istiqomah, mujahadah, sabar dan teguh pendirian di landasan perjuangan melebihi kepentingan diri. Sabar dan teguh pendirian juga antara faktor kemenangan Talut dan tenteranya sepertimana Allah berfirman,
“Dan apabila mereka (yang beriman itu) keluar menentang Jalut dan tenteranya, mereka berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami …….”(al-Baqarah ayat 250)
Semoga Ramadan tahun ini menjadikan kita lebih menghayati erti mujahadah, sabar dan pengorbanan bukan sahaja ketika menjalani ibadah puasa bahkan dalam perjuangan politik ini.
AHMAD ZAHID HAMIDI
#menghayatiperjuanganparti
#mujahadahdanpengorbanan
#kitajagakita