PH Kedah Lemah, Retak… UMNO Desak Campurtangan PN Demi Kepentingan Rakyat

KUALA LUMPUR, 7 Mei –  Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mendesak campurtangan  segera kerajaan Perikatan Nasional (PN) Pusat bagi menyelesaikan segera kemelut politik Kedah yang merugikan rakyat lebih-lebih lagi dalam berdepan cabaran Covid-19.

Ini kerana katanya, kelemahan dan keretakan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan ( PH) di Kedah kini jelas kelihatan dan nampaknya sukar dibendung lagi dengan kenyataan terbaharu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sidam, YB Dr. Robert Ling Kui Ee.

“Kenyataan Dr. Robert Ling Kui Ee memperlihatkan ketidakpuasan hati pihaknya dan dilihat sudah tidak sehaluan dengan kepimpinan PH Kedah.

“Kemelut politik Kedah masih tidak bergerak kemana-mana, sedangkan semua negeri telah dinoktahkan kepimpinannya seiring kerajaan PN dipusat setelah jatuhnya Kerajaan PH. Rakyat Kedah memerlukan kepimpinan yang boleh menumpukan sepenuh tenaga untuk mendepani wabak COVID19 ditambah pula disuasana Ramadan dan hari raya yang bakal menjelang tiba,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.

Jelasnya, bantuan makanan dan keperluan lain perlu disalurkan kepada semua lapisan masyarakat dan disegenap pelusuk negeri atas nama kerajaan memerintah.

“Kalau pemimpin terlalu banyak berpolitik dan bercakaran dengan menghabiskan masa dan tenaga bersaing sesama sendiri maka mereka akan hilang keupayaan memimpin, manakala kesan kesusahan ditanggung oleh rakyat Kedah.

“PPBM Kedah bukan sahaja menghadapi konflik dengan PKR, malah  PPBM juga sedang menghadapi kehangatan pemilihan parti.

“Malang sekali perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku dikala negara berdepan dengan pandemik COVID-19 dan rakyat pula memerlukan bantuan yang berterusan dan berkesan.”

Katanya, kenyataan PAS Kedah juga membayangkan akan ada beberapa Adun PKR yang akan bertukar rakan kerjasama dan lantas akan mengurangkan jumlah kerusi penguasaan PH.

“Kenyataan ini bukan sahaja menjadi kerisauan PAS semata tetapi turut dirasai bersama UMNO Kedah.

“Apapun suasananya keadaan politik ketidaktentuan ini merugikan negeri Kedah dan rakyat Kedah,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit