Pahang Umum Fasa Keempat Bantuan PKP Berjumlah RM614,750
KUANTAN, 22 April – Kerajaan negeri Pahang hari ini mengumumkan fasa keempat bantuan kepada rakyat yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk veteran tentera, bekas polis dan nelayan, melibatkan enam inisiatif bernilai RM614,750.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif baharu itu menjadikan bantuan PKP yang diberikan kerajaan negeri secara berperingkat-peringkat mulai 23 Mac lepas, berjumlah 28 inisiatif dengan nilai keseluruhan RM24.96 juta.
Antara penerima manfaat fasa keempat ini ialah 2,400 veteran tentera berpencen tanpa gaji yang menjadi ahli Persatuan Veteran Tentera Pahang, ahli Persatuan Bekas Polis Pahang (600 orang), anggota sukarela Rejimen 505 Askar Wataniah (300 orang) dan nelayan tidak berlesen (565 orang).
“Mereka akan menerima sumbangan wang tunai RM100 dan barangan keperluan dapur bernilai RM50 setiap seorang yang keseluruhannnya membabitkan peruntukan berjumlah RM579,750.
Sebanyak RM20,000 juga diberikan kepada pengurusan Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) di sini, kerana menanggung perbelanjaan makan 60 pelajar anak Pahang yang menetap di rumah sewa ekoran PKP, katanya menerusi kenyataan media hari ini. – BERNAMA