Pemuda UMNO Gesa Kerajaan Negeri Kedah Proaktif, Bukan Umum Kemudian Biarkan ‘Ibarat Angin Membuai Lalu’

LANGKAWI, 21 April – Kerajaan Negeri Kedah masih belum menampakkan usaha dan perlaksanaan yang bersungguh-sungguh dalam membantu pemain-pemain industri pelancongan terutamanya di Pulau Langkawi.

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bahagian tersebut, Ahmad Marzuki Shari’at, maklumat serta pakej rangsangan yang dibuat oleh Menteri Besar (MB) Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir masih samar dan meragukan.

“Maklumat yang jelas tidak sampai kepada rakyat dengan tepat. Rakyat masih mencari-cari apakah yang perlu dilakukan. Adakah pakej rangsangan ini sekadar indah khabar dari rupa?

“Atau hanya sekadar melepaskan batuk di tangga? Di mana MB Kedah? Sekarang bukan masa untuk kita menunggu. Sekarang masa untuk membantu sedaya upaya. Mengerah keringat hingga ke akar dalam memastikan nasib rakyat terus terbela,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Justeru itu katanya, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Langkawi memohon dan menggesa supaya langkah-langkah yang lebih proaktif harus diambil oleh kerajaan negeri kepada pemain-pemain industri pelacongan yang terlibat.

“Janganlah hanya membuat pengumuman tetapi tindakan hanya ibarat angin yang membuai lalu. Siapa kita untuk menafikan hak rakyat yang menanggung beban ini.

“Diharapkan agar Kerajaan Negeri Kedah dapat merangka dan melaksanakan satu pelan rangsangan khas kepada pemain-pemain industri ini agar mereka mampu terus berada di dalam industri. Adakah kita pemimpin yang baik jika ada rakyat terpaksa bergolok bergadai sekarang demi meneruskan kehidupan?

“Adakah kita pemimpin yang baik jika hari ini masih ada ibu bapa yang tidak mampu memberi anak-anak susu dan makanan? Adakah kita pemimpin yang bagus jika hari ini masih ada rakyat yang tersiksa? Berat mata memandang… Berat lagi bahu yang memikul,” tegasnya lagi.

Ini kerana katanya, Pulau Langkawi adalah satu nama yang gah antara pulau pelancongan yang hebat di dunia di mana jasa dan pengorbanan pemain-pemain industri yang terlibat secara langsung atau tidak langsung haruslah diberi perhatian yang sewajarnya.

“Mereka adalah antara watak penting yang menjadikan Pulau Langkawi sebagai sebuah pulau yang hebat di mata dunia. Mereka juga antara penyumbang terbesar kepada pendapatan negeri.

“Pastinya COVID-19 ini memberi satu ancaman yang besar kepada pemain-pemain industri ini. Bermula dari pemandu teksi dan e-hailing hinggalah pemandu pelancong dan pengusaha travel agensi serta pengusaha-pengusaha homestay dan hotel. Pastinya mereka semua terkesan,” tambahnya.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Ahmad Marzuki mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang berusaha memastikan negara berjaya memutuskan rangkaian wabak COVID-19 serta membantu rakyat dalam meneruskan kehidupan melawan wabak ini. Insyaallah kita pasti akan menang.

“Semoga kita semua terus dirahmati Allah SWT dan negara kita bebas dari dugaan ini. Sekalung penghargaan kepada semua ‘frontliner’ yang berkorban untuk negara.

“Andalah ‘Wira Negara’ yang sebenar. Hanya Allah SWT sahaja mampu membalasnya. Ayuh bersama kita ‘Bina Semula’ Malaysia,” katanya. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.