Pembatalan UPSR, PT3 Serta Penundaan SPM, SVM, STPM Dan STAM Bukti Keprihatinan Kerajaan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 16 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyambut baik pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengenai pembatalan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun ini dan penundaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia serta Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) kepada suku pertama tahun depan, 2021.

“Langkah yang diambil oleh kementerian menjadi bukti keprihatinan dan komitmen kerajaan bagi melindungi anak-anak kita daripada pandemik COVID-19 kerana soal keselamatan dan kesihatan adalah keutamaan kerajaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berharap agar usaha kerajaan tersebut disambut baik oleh guru dan pelajar kerana secara tidak langsung dapat menyelesaikan kemelut pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang terganggu sejak penularan pandemik COVID-19.

“Di samping ia juga dapat memberi ruang dan peluang secukupnya kepada pelajar SPM, SVM, STPM dan STAM membuat persiapan,” tambahnya.

Selain itu, ulas Ahmad Zahid lagi, KPM perlu segera mengkaji mekanisme bagi pengambilan pelajar lepasan tahun enam dan tingkatan tiga tahun ini ke sekolah berasrama penuh dan setaraf dengannya untuk kemasukan tahun hadapan.

“Memandangkan peperiksaan UPSR dan PT3 dibatalkan, kementerian perlu segera mengkaji dan memperkenalkan mekanisma serta kaedah baharu untuk dijadikan kriteria pemilihan kemasukan pelajar ke sekolah berasrama penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Maktab Tentera Diraja (MTD). – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit