Semua Pemimpin Sabah Tanpa Mengira Parti Politik Harus Bersatu Tangani Wabak COVID-19 – Bung Mokhtar

KOTA KINABALU, 15 April – Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin menyeru kepimpinan dan semua ahli UMNO negeri itu agar bersatu dalam apa juga bentuk tindakan dan gerak kerja bagi menangani wabak COVID-19 yang melanda dunia ketika ini.

Jelas beliau, kesepakatan dalam menambah keupayaan amat diperlukan ketika ini dalam usaha mencari jalan penyelesaian dan bantuan yang lebih baik, teratur dan seterusnya memberi manfaat serta impak yang menyeluruh demi kepentingan rakyat di negeri Sabah.

“Tidak pernah dalam sejarah dunia, kita berhadapan dengan musibah dan fenomena yang lebih mengancam kelangsungan hidup dan survival kita, wabak COVID-19 ini tidak mengenal sempadan, bangsa, agama, fahaman dan idealogi. Maka ia perlu ditangani bersama.

“Negara-negara besar di dunia yang begitu gagah seperti U.S.A, negara-negara di Eropah dan Cina pun dapat ditundukkan oleh wabak ini dan terpaksa menerima hakikat wabak ini telah memusnahkan jentera kehidupan seharian namun kita masih bersyukur kerana Malaysia masih mampu menangani masalah ini dengan baik namun ia memberlukan kerjasama semua pihak,” ujar beliau menerusi satu kenyataan.

Tambah Bung Moktar, dugaan yang luar biasa ini mesti diharungi dengan pendekatan yang luar biasa malah menuntut pengorbanan yang juga luar biasa.

“Inilah masanya untuk kita mempamerkan kesatuan dalam kepimpinan tanpa mengira fahaman politik, bergerak dalam satu haluan dengan fokus dan tujuan yang sama.

“Kesungguhan dan tindakan kita sebagai pemimpin tidak kira dari parti apa yang diwakili akan memberi keyakinan kepada semua lapisan masyarakat yang ketika ini sedang mencari jawapan dan arah tuju yang jelas dalam keadaan yang kritikal dan tidak menentu ini,” ulas beliau lagi.

Justeru, ujar Bung Mokhtar, UMNO Sabah harus menggambarkan kesanggupan dan memperlihatkan sikap keterbukaan untuk menjalinkan kerjasama dengan semua parti politik sama ada kerajaan atau sebaliknya dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan usaha-usaha dan bantuan-bantuan dapat diselaraskan, menepati objektif bersama untuk menjaga kepentingan rakyat di negeri ini.

“Harus diingat, bantuan yang disalurkan tidak seharusnya dilihat sebagai suatu persaingan di antara pemimpin dan parti politik,” tegas beliau lagi. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit