Perketatkan Kawalan Premis Perkhidmatan, Bendung Wabak COVID-19

ALOR SETAR, 12 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Suraya Yaacob mencadangkan agar kerajaan memperketatkan SOP bagi mengawal beberapa premis perkhidmatan serta jenis perniagaan seperti penjualan perkakasan, menggunting rambut dan sebagainya yang telah dibenarkan untuk dibuka serta beroperasi dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Jelas beliau, pemeriksaan berkala juga perlu dilakukan dengan lebih kerap agar wabak COVID-19 dapat dibendung dengan baik.

“Rentetan daripada pengumuman dasar ini, maka sudah tentu kaedah pelaksanaannya bakal melibatkan ramai petugas barisan hadapan terutama daripada petugas Pejabat Kesihatan Daerah untuk membuat pemantauan di premis-premis berkenaan.

“Sekiranya pemantauan ketat dilaksanakan, bilangan petugas mungkin perlu ditambah bagi mengimbangi keperluan di barisan hadapan yang lain. Pandangan saya, pihak Kerajaan mungkin boleh memikirkan jalinan kerjasama di antara agensi dan jabatan terlibat untuk sama berganding bahu melaksanakan tugasan ini.

“Selain itu, saya juga mencadangkan agar kerajaan menjalankan pendekatan ‘district micro manage’ iaitu hanya daerah yang dikenalpasti berisiko rendah jangkitan atau kawasan hijau sahaja dibenarkan dibuka terlebih dahulu pada minggu ini sebelum dilanjutkan ke daerah lain dalam sesebuah negeri atau wilayah. Ini kerana ramai yang berasa bimbang penularan wabak ini akan meningkat sekiranya tidak dikawal dengan baik,” ujar beliau menerusi satu kenyataan media.

Tambah Suraya yang juga merupakan ADUN Sungai Tiang merangkap Ketua Penerangan UMNO Kedah, beliau amat berharap agar pihak Kerajaan mengawal secara berhemah dan tidak sewenang-wenangnya memberikan kebenaran untuk premis-premis berkenaan beroperasi serentak di setiap daerah atau kawasan di seluruh negara.

“Ini adalah amat penting bagi mengelak satu keadaan yang memungkinkan risiko kurang kawalan dan pemantauan.

“Sebagai rakyat yang bertanggungjawab dan tidak mementingkan diri, kita rakyat Malaysia juga perlu bertindak bijak dan tidak mengambil kesempatan keputusan ini.

“Sewajarnya kita hanya keluar apabila perlu sahaja, sebaliknya terus berada di rumah sebagaimana langkah keselamatan dan arahan KKM dan kerajaan,” ulas beliau.

Justeru, Suraya melahirkan harapan agar pihak kerajaan mempertimbangkan cadangan tersebut sebaik mungkin bagi memastikan penularan COVID-19 dapat diputuskan secepat mungkin di seluruh negara. – UMNO ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.