Demi Keselamatan Semua Pihak, UMNO Kedah Yakin Kemampuan KPT

ALOR SETAR, 11 April – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Suraya Yaacob yakin kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan membuat perancangan dan kaedah pelaksanaan yang teliti di samping mengutamakan keselamatan semua pihak, khususnya sebelum membuat keputusan membenarkan para pelajar institut pengajan tinggi (IPT) kembali ke kampung halaman masing-masing.

Ini katanya, ekoran pengumuman oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa dilanjutkan sehingga 28 April ini serta melihat komitmen KPT terhadap kebajikan pelajar-pelajarnya.

“Menempuh situasi sukar ini, Kak Su juga yakin bahawa para pelajar IPT sudah bijak dan matang untuk mematuhi apa jua kaedah yang akan diperkenalkan nanti.

“Kita memahami perasaan dan cabaran yang perlu dihadapi setiap pelajar IPT yang sebelum ini mematuhi arahan PKP untuk tinggal di kediaman masing-masing sama ada di rumah sewa dan kolej-kolej kediaman.

“Pada masa yang sama, sudah tentu mereka risau akan keluarga mereka di kampung halaman masing-masing. Begitu juga dengan golongan ibu bapa, mereka juga sudah tentu bimbang dengan keadaan anak-anak yang terpaksa bersendirian dalam tempoh PKP ini,” ujarnya yang lebih senang digelar Kak Su dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu lagi, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kerana atas pengorbanan pelajar-pelajar selama ini bersama-sama rakyat Malaysia yang lain dalam mematuhi peraturan dan langkah keselamatan dikuatkuasakan oleh pihak kerajaan.

“Kita percaya, segala keputusan kerajaan dan KPT dalam menghadapi situasi ini akan memberikan kebaikan untuk kita semua kelak,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang itu lagi.

Justeru itu, Suraya menyeru agar semua pihak kekal bertenang, tidak bersikap mementingkan diri dan terus mematuhi saranan terbaik daripada kerajaan.

“Kita mampu dan Malaysia sentiasa ‘boleh’.

“Semoga dipermudahkan, insya-Allah,” harapnya lagi. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit