“Jika Tidak Boleh Menyumbang, Jangan Jadi Pengacau”, ADUN PH ‘Hilang Dari Radar’ Dibidas

RAUB, 9 April – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Raub, Fadzli Mohamad Kamal membidas segelintir sikap wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) di Negeri Pahang jika tidak boleh menyumbang, jangan jadi pengacau.

Ini kerana ujarnya, setelah tiga minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, secara tiba-tiba muncul Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu dari PKR, Lee Chean Chung dan ADUN Bilut (Dap), Lee Chin Chen dengan kenyataan menuduh Kerajaan Negeri Pahang mempolitikkan penyaluran bantuan untuk rakyat ekoran COVID-19.

Jelas Fadzli, kenyataan mereka itu hanya muncul setelah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada Rabu telah mengumumkan fasa tiga bantuan kerajaan negeri untuk membantu rakyatnya yang terjejas ekoran COVID-19.

“Sebenarnya, ADUN-ADUN PH ini mulai merasa bimbang mereka semakin dilupakan oleh rakyat Pahang kerana dalam tempoh tiga minggu ini kebanyakan mereka ‘hilang dari radar’ dan tidak dilihat membantu rakyat yang memerlukan.

“Hakikat yang perlu diketahui, kesemua 42 DUN di Pahang ini termasuk DUN-DUN yang diwakili PH menerima peruntukan yang sama-rata daripada kerajaan negeri melibatkan ketiga-tiga fasa bantuan, untuk diagihkan kepada rakyat yang memerlukan di kawasan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Malah jelasnya lagi, setiap ADUN PH juga menerima peruntukan khas daripada kerajaan negeri.

“Jadi, tidak timbul langsung isu kononnya kerajaan negeri mempolitikkan bantuan ini,” tegasnya.

Untuk rekod, bagi fasa ketiga tersebut, Wan Rosdy yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan ADUN Jelai mengumumkan sembilan lagi inisiatif tambahan bagi fasa sebelum ini.

Antara inisiatif terbaharu itu adalah seperti sumbangan tunai RM100 dan barangan keperluan bernilai RM50 kepada 70 buah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda seluruh Pahang melibatkan 3,500 orang penerima, nilai peruntukan ialah RM525,000.

Begitu juga sumbangan tunai RM100 dan barangan keperluan bernilai RM50 kepada 62 buah Jawatankuasa Kemajuan dan Kesalamatan Kampung Baharu (JKKKB) melibatkan 3,100 orang penerima, nilai peruntukan ialah RM465,000.

Selain itu, sumbangan tunai RM150 kepada 650 mahasiswa/i anak Pahang yang kekal tinggal di asrama kampus masing-masing ekoran akur kepada PKP serta sumbangan RM30,000 sebagai membantu usahawan mikro ‘E-Hailing’ khususnya di Kuantan yang terkesan teruk dengan PKP.

Dengan sembilan inisiatif terbaharu di bawah fasa tiga itu, dicampurkan dengan 13 inisiatif di bawah fasa satu dan dua sebelum ini menjadikan keseluruhan nilai peruntukan untuk kesemua 22 inisiatif yang kerajaan negeri perkenal dan laksanakan setakat ini ialah sebanyak RM21.404 juta, serta melibatkan lebih 136,074 orang penerima. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.