Jangan Ambil Mudah Atau Penting Diri Ketika COVID-19
KUALA LUMPUR, 9 April – Kerajaan dilihat mengambil langkah berhati-hati serta berperingkat dalam usaha menangani permasalahan yang dihadapi oleh rakyat berhubung Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani penularan wabak COVID-19.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor berkata contoh terdekat apabila kerajaan membenarkan kumpulan yang terlibat dalam sektor perniagaan seperti kedai baja dan racun, kedai makanan haiwan, kedai ‘hardware’ dan kedai alat ganti kenderaan beroperasi pada setiap hari Isnin dan Khamis pada tempoh waktu 8.00 pagi sehingga 4.00 petang.
Menurut beliau langkah sedemikian merupakan langkah-langkah permulaan kepada langkah yang lebih baik serta bersifat rakyat didahulukan dan sebagai pemimpin dan rakyat semestinya saranan serta arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan perlu dipatuhi.
“Apa yang dilakukan oleh kerajaan hari ini sebenarnya mencakupi semua perkara, antara perkara paling penting yang diberikan perhatian khusus oleh kerajaan adalah soal kesihatan dan keselamatan rakyat, kerana itu PKP dilaksanakan.
“Tidak ada gunanya negara hebat dalam soal ekonomi tetapi dalam masa yang sama rakyat menderita kerana penularan wabak yang boleh membawa maut.
“Apabila rakyat mula menderita, kerajaan sedia ada pun pastinya akan pincang malah mungkin akan dijadikan sasaran oleh banyak pihak kerana tidak melaksanakan langkah-langkah yang perlu pada ketika wabak COVID-19 masih boleh dibendung,” katanya dalam satu kenyataan.
Muhamad Yusoff seterusnya menambah segala keputusan yang dibuat berdasarkan pertimbangan menyeluruh pihak kerajaan dan pastinya ia melibatkan banyak pihak serta Kementerian yang mempunyai keupayaan dalam mengenal pasti kesan daripada keputusan yang dibuat.
“Saya faham ada di antara rakyat yang terkesan secara langsung akibat arahan PKP ini, hilang punca pendapatan malah ada kalangan pekerja yang terpaksa menghadapi hari sukar kerana perlu bercuti tanpa gaji atau dibayar separuh gaji termasuklah para peniaga dan penjaja yang kini terpaksa menutup perniagaan masing-masing.
“Atas kesedaran itu, saya melihat kerajaan tampil dengan pelbagai bentuk bantuan melibatkan semua pihak daripada isi rumah sehinggalah kepada para peniaga dan penjaja.
“Bantuan Prihatin Nasional serta Bantuan i-Lestari melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Pakej Ransangan Ekonomi sempena PKP ini adalah tindakan yang tepat bukan sahaja untuk kesejahteraan rakyat tetapi juga bagi meransang ekonomi lokal melibatkan pengguna dan pengeluar,” ujarnya.
Gesa beliau lagi janganlah ambil mudah dalam keadaan kritikal sebegini kerana satu kesilapan mudah akan menyebabkan seluruh rakyat menerima kesannya dan jangan sesekali lupa kejadian penularan wabak COVID-19 yang merebak di negara-negara lain sehingga menyebabkan angka kematian mencecah puluhan ribu hanya kerana kerajaan tidak mengambil langkah-langkah yang agresif.
“Walaupun pandangan daripada Penasihat Khas Pelaburan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lee Kah Choon yang menggesa supaya kerajaan membenarkan para pekerja kembali bekerja dalam tempoh waktu yang singkat ini dilihat sebagai salah satu keperluan, saya merasakan bahawa ianya mestilah berpandukan kepada sejauh mana keadaan wabak COVID-19.
“Kepada semua pihak, saya mohon bersabar dan sama-samalah kita hadapi keadaan ini dengan langkah-langkah yang sewajarnya, turuti saranan kerajaan dan yakinlah kerajaan tidak akan menzalimi rakyatnya sebaliknya sedang berusaha untuk menyelamatkan semua kita,” katanya.- UMNO ONLINE