Koleksi Ringkas PH Meroyan – Shahril Hamdan

Seboleh-bolehnya pada waktu krisis ini, suhu politik diturunkan. Sedia maklum, kita tidak hidup di alam fantasi – sudah tentu industri politik akan terus berjalan. Tetapi pada masa sama, jaringan gol politik jangka pendek menjadi pertimbangan kedua, ketiga atau kesepuluh.

Keutamaan seluruh rakyat Malaysia termasuk pengamal politik sewajarnya kepada usaha menyelamatkan negara dari krisis #Covid19, termasuklah pematuhan kepada PKP, sokongan kepada barisan hadapan di KKM, kemudian pencernaan idea dan pelaksanaan pakej ekonomi.

Inilah pendekatan yang diambil oleh pemimpin-pemimpin parti dalam Kerajaan sekarang, termasuklah dan terutamnya parti UMNO. Rata-rata kenyataan pemimpin UMNO menjurus kepada situasi mendesak semasa.

Tetapi semakin hari semakin banyak kenyataan meroyan oleh puak yang kecewa hilang kuasa atas kelemahan dan kecelaruan sendiri (itu kita kupas lain hari).

1. YB Khalid Samad
Juara. Setiap hari meroyan mencari kesalahan. Lihat sahaja garis masa media sosialnya – semua dicerca; baik dari Menteri sekarang, Menteri BN dahulu, sehinggalah ke mufti. Yang betul hanyalah dia dan PH.

Tunggu masa kita betul-betul buka buku bab itu. Cuma nak beritahu, kalau nak promosi diri dan parti sendiri, silakan, tetapi tak perlu hina kepimpinan sekarang yang sedang mengurus keadaan pada hemat saya dengan prestasi yang jauh mengatasi PH dahulu.

2. YB Hannah Yeoh
Semenjak jadi pembangkang makin aktif dalam segala bentuk hasutan berhubung kesahihan Kerajaan Perikatan Nasional – dengan naratif pintu belakang yang dicanangkan. Itu pun kita boleh balas panjang nanti.

Cuma nak beritahu, rakyat sekarang mahu usaha politik yang membina kekuatan bersama untuk menyelesaikan krisis. Sentimen menunjukkan rakyat sedang gusar dengan segala cabaran yang perlu diuruskan sebaiknya; tidak ramai minat sembang persaingan politik antara figura atau parti sekarang ini.

Mungkin disebabkan tak faham sentimen rakyatlah pihak PH terjerumus ke kancah kekalahan gol sendiri.
Selain individu-individu seperti ini, kita telah melihat kenyataan-kenyataan rasmi lain yang langsung tidak membantu situasi.

3. Sehingga pakej rangsangan ekonomi pun kalau tanya PH, mahu dilambatkan gara-gara sandiwara politik kononnya ia perlu kelulusan Parlimen sedangkan selama ini tidak pernah dibangkitkan termasuk sewaktu Perdana Menteri interim mengumumkan pakej pertama 27 Februari dahulu.

4. Bila pakej dikatakan bernilai besar, ada yang laju mempertikai suntikan fiskal hanya RM 25 bilion walhal pengumuman Perdana Menteri tidak pernah pun “claim” jumlah suntikan adalah RM 250 bilion. Bila ditanya pakej rangsangan ekonomi mana yang hanya berbentuk fiskal, mereka tak jawab.

Bila ditanya sewaktu pakej pertama diumumkan PM interim dibawah kelolaan Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang dikatakan bernilai RM 20 bilion itu, berapa jumlah suntikan fiskal, mereka tak jawab. (Dimaklumkan tak sampai RM 3b pun)

5. Waima kaedah pelaksanaan Bantuan Prihatin Nasional pun mereka pertikai awal-awal – katanya elok guna sistem e-tunai. Tak apalah, bab ini kita bagi diskaun – barangkali ia cadangan membina disebalik keresahan mereka yang khuatir rakyat lupa RM30 yang disumbangkan oleh Pakatan Harapan dahulu. Insya Allah rakyat tak lupa – terima kasihlah Pakatan Harapan.

Ini pula cadangan kepada Pakatan Harapan. Mainlah peranan sebagai pembangkang berkualiti. Ada diantara anda yang buat perkara itu, tetapi sayangnya ramai pemimpin besar anda yang masih bermain politik.

Tukarlah koleksi kenyataan anda lebih kepada cadangan membina agar kita angkat status politik kita. PRU seterusnya, bila-bila sahaja ia ditakdirkan berlaku, anda boleh cuba lagi. Sekarang tak perlu meroyan kecewa. Sekarang ini jadilah pembangkang berkredibiliti.

Shahril Hamdan
Ketua Penerangan UMNO Malaysia.

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit