COVID-19: Pemuda Kedah Harap Bayaran BPN Dipercepatkan

KUALA LUMPUR, 31 Mac – Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berharap bayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dipercepatkan sepertimana cadangan yang telah diutarakan oleh pelbagai pihak sebelum ini.

Sambil mengucapkan syabas kepada kerajaan yang memperkenalkan pelbagai inisiatif yang peduli rakyat yang memberi sinar kepada kegelisahan orang ramai, Pemuda UMNO negeri mengambil pendirian yang sama agar bayaran disegerakan.

“Sehubungan itu Pemuda UMNO Kedah meminta kerajaan mempertimbangkan semula tarikh bayaran BPN yang dilihat masih lama dan tidak memberi faedah segera.

“Pembayaran pada hujung bulan April dan Mei perlu dipercepatkan seberapa segera, sebaiknya bayaran dibuat pada minggu ini juga atau selewatnya pertengahan minggu hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya lagi kerajaan sudah mempunyai peraturan dan data yang jelas, lengkap tentang siapa yang layak dan kaedah pembayaran yang tepat, maka proses penyaluran BPN harus proaktif supaya matlamat membantu rakyat dapat dirasai segera khalayak masyarakat.

Tambahnya lagi dalam keadaan ramai yang mengalami kehimpitan kewangan kerana tidak dapat mencari nafkah, mempercepatkan bayaran, memudahkan prosedur adalah satu berita gembira yang sangat ditunggu-tunggu.

“Pemuda UMNO Kedah juga menerima banyak pertanyaan daripada orang ramai bilakah pembayaran BPN akan dibuat, dan kalau boleh mereka mengharapkan bayaran itu disegerakan bagi menampung perbelanjaan mendesak keperluan keluarga.

“Di peringkat negeri Kedah pula masih belum nampak bayang bantuan daripada kerajaan negeri walaupun sudah diumum pelbagai jenis bantuan.

“Walaupun Lembaga Zakat telah memberi bantuan berupa barang makanan, tetapi bantuan terus kerajaan negeri belum nampak dengan jelas dan rakyat keliru dengan siapa hendak memohon,” ujarnya.

Ujarnya lagi Pemuda UMNO Kedah juga berharap kerajaan persekutuan juga mencari jalan jangka panjang bagi menangani kesan ekonomi domestik terhadap mereka yang berpendapatan rendah.

“Kita bimbang sekiranya pandemik covid 19 ini berpanjangan, ekonomi negara dan negara tidak segera pulih maka kesan negatif menjadi lebih parah terhadap ekonomi keluarga,” tambahnya.- UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit