Ramai Keliru Bantuan COVID-19 Untuk Penggiat Seni: Wujudkah?

KUALA LUMPUR, 29 Mac – Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia, Khaidhirah Abu Zahar menjelaskan bahawa ramai penggiat seni keliru kerana mungkin tiada pengkhususan ‘seni, hiburan atau muzik’ dalam pengumuman Perdana Menteri Pakej Ransangan Ekonomi PRIHATIN yang melibatkan semua rakyat Malaysia.

Katanya, negara sedang melalui satu episod kepayahan yang amat besar apabila dilanda satu wabak penyakit yang dikenali sebagai COVID-19 yang telah mengorbankan hampir 30,000 orang di seluruh dunia dan ia menimbulkan kegusaran banyak pihak, tidak kira dari pelbagai latar belakang masyarakat apabila pelbagai sekatan dilaksanakan untuk memutuskan rangkaian jangkitan antaranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Namun katanya, pelaksanaan PKP ini menyebabkan rakyat membataskan pergerakan mereka termasuk mencari nafkah dan bekerja.

“Saya juga dimaklumkan beberapa individu dari bidang seni mula menyuarakan nasib mereka, serta permintaan bantuan-bantuan untuk mereka kerana terjejas dengan pelaksanaan PKP. Saya pernah berada dalam bidang seni, dan saya faham tentang situasi orang seni.

“Sebenarnya, kerajaan telah pun mengumumkan Pakej Ransangan Ekonomi PRIHATIN yang melibatkan semua rakyat Malaysia. Kerajaan mengambil pendekatan ‘no one left behind’ agar bantuan dan suntikan kewangan diberikan kepada semua semua lapisan masyarakat,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sebenarnya, terang beliau, Bantuan Prihatin Nasional terpakai kepada penggiat seni termasuk pelakon, penyanyi, pengacara, atau warga produksi sekalipun dengan pemberian tunai ‘one-off’ dengan peruntukan bernilai hampir RM10 bilion.

“Warga seni yang berpendapatan isi rumah bawah RM4,000 berhak mendapat bantuan RM1,600, RM1,000 untuk isi rumah berpendapatan bawah RM8,000 serta RM800 kepada individu bujang berpendapatan RM2,000 ke bawah. Penggiat seni yang berpendapatan RM4,000 ke bawah dan masih bujang juga layak untuk bantuan one-off sebanyak RM500.

“Kita sedar ramai penggiat seni sebelum ini mendapat pendapatan lumayan ‘one-off’ setiap kali selesai penggambaran, rakaman atau kerja-kerja berkaitan. Ia tidak melibatkan pembayaran bulanan seperti mana kumpulan pekerjaan lain yang mendapat gaji secara berkala.

Hal ini menyebabkan ramai penggiat seni hilang pendapatan yang besar sepanjang PKP berlangsung dan mereka gagal untuk melunaskan beberapa bebanan hutang berkaitan.”

Kata beliau, sebenarnya, Bank Negara telah pun mengumumkan motorium atau pengecualian bayaran ansuran kereta, rumah dan sebagainya selama enam bulan untuk meringankan beban rakyat termasuklah anak seni.

“Jadi, kumpulan penggiat seni tetap menerima manfaat dari usaha kerajaan dan tiada satu pun sebab untuk menyatakan ‘penggiat seni tertindas’.

“Dari pemerhatian di media sosial, saya tahu ramai yang mengkritik penggiat seni dengan menyamakan penggiat seni Malaysia dan Korea. Seni hiburan di Korea dikatakan menyumbang banyak wang derma kepada kerajaan mereka untuk membantu menangani pandemik COVID-19, sementara di Malaysia adalah sebaliknya.

“Ianya agak sukar untuk saya ulas kerana ‘leverage’ hiburan di Malaysia dan Korea adalah sangat berbeza. Namun, saya yakin terdapat juga beberapa artis yang menyumbang kepada Tabung COVID-19, tetapi merahsiakannya untuk tujuan ‘privacy’ mereka sendiri.”

Tegasnya, dalam krisis atau konflik yang berlaku hari ini, badan yang menjaga kebajikan artis juga perlu kehadapan sebagai mewakili penggiat seni.

“FINAS contohnya harus agresif untuk memperjuangkan nasib penggiat seni, termasuk memohon peruntukan tambahan dan juga suntikan tertentu untuk menaikkan semula industri seni selepas COVID-19 selesai dan reda.

“Pertubuhan kebajikan artis harus proaktif dijadikan tempat pengumpulan aduan serta mendapatkan bantuan makanan, keperluan dan sebagainya. Individu yang dilantik tidak harus lepas tangan dan timbul ketika ‘waktu senang’ sahaja, sementara ramai penggiat seni buntu permasalahan masing-masing.

“FINAS dan beberapa lagi badan berkaitan seperti MACP harus memainkan peranan untuk mengumpul atau pemilikan ‘big data’ para penggiat seni supaya mudah untuk menyalurkan bantuan bagi yang layak.”

Ujarnya, data ini akan memainkan peranan terutamanya di dalam apa jua krisis seperti wabak, gempa bumi, banjir atau sebagainya.

“Saya juga akan berusaha untuk majukan hal ini kepada YAB Perdana Menteri untuk pelarasan dan mekanisma yang baik bagi membantu anak seni yang kurang bernasib baik.

“Artis-artis veteran juga perlu diberi perhatian memandangkan mereka juga kehilangan pendapatan secara total akibat dari pandemik yang melanda dunia ini.”

Walau bagaimanapun, katanya, banyak pengajaran yang boleh diambil dari krisis COVID-19 ini antaranya perlunya hidup atas keperluan, bukan kemahuan.

“Sedikit pembayaran yang diterima dari dunia popular juga harus diasingkan sedikit menjadi simpanan kerana kita tidak mampu menduga dugaan yang bakal berlaku kepada kita dan juga keluarga. Ia juga peringatan kepada diri saya jua, yang berkongsi kegusaran yang sama dengan kalian, sepanjang pandemik ini menyerang kita semua.

“Kekalkan lah berada di rumah serta gunakan lah masa ini untuk bersama keluarga tercinta. Ikuti segala perintah yang dikeluarkan agar kita terhindar dari penyakit yang boleh menggugurkan air mata kerana kealpaan kita sendiri. ‘Stay Home, Stay Safe’,” katanya lagi. – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.