COVID-19: Penyebaran Berita Palsu Mesti Dihentikan, Bukti Akta Anti Berita Tidak Benar Memang Diperlukan – Zahid

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Penyebaran berita palsu dan tidak jelas harus diberhentikan.

Demikian penegasan yang diberikan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid memberi reaksi demikian apabila merujuk kepada laporan media perdana yang menyatakan banyak kertas siasatan telah dibuka oleh pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung penyebaran berita tidak sahih COVID-19.

“Kerajaan perlu wujudkan kerjasama strategik antara SKMM dan PDRM bagi menangani penularan berita tidak benar berkaitan COVID-19 agar rakyat tidak panik,” tegasnya lagi.

Tambah Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi, apa yang berlaku sewaktu krisis COVID-19 ini menjadi asas yang kukuh betapa Akta Anti Berita Tidak Benar perlu untuk negara dari mengekang berleluasanya penularan berita palsu.

Untuk rekod, hampir setiap hari agensi-agensi yang bertanggungjawab membuat kenyataan menafikan beberapa berita palsu yang tular di media sosial, antaranya seperti kenyataan media Pasukan Respon Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia semalam yang berkata Hospital Kluang nafi fasiliti hospital lama digunakan bagi menempatkan pesakit-pesakit bukan COVID-19 dari Hospital Kluang yang baharu, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor nafi keadaan wabak COVID-19 di Kuala Selangor semakin parah seperti didakwa satu kenyataan yang dikeluarkan di Mukim Tanjong Karang. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.