Syabas Warga TNB… Terus Berkhidmat Dalam Tempoh Genting – Dr Shamsul

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Menteri Tenaga Dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah mengucapkan syabas kepada semua warga kerja TNB yang bertungkus-lumus bekerja semasa tempoh genting dalam menghadapi cabaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa sejak 18 Mac 2020.

Menurut beliau sejak bermula PKP, TNB mengambil langkah proaktif dengan meletakkan 79 set janakuasa bergerak dengan pelbagai kapasiti di seluruh negara dan set janakuasa mudah alih juga digerakkan dan kesemuanya berada dalam keadaan bersedia sekiranya diperlukan.

“Sistem bekalan elektrik ke hospital-hospital yang menjadi pusat perubatan bagi menangani wabak virus Covid-19 turut diperkukuhkan, antaranya Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur.

“Saya berkeyakinan penuh terhadap kesiapsiagaan bekalan elektrik di Semenanjung dalam menghadapi cabaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa sejak 18 Mac 2020. Semoga Covid 19 segera selesai. Dan kita kembali menjalani kehidupan sebagaimana biasa,” katanya menerusi catatan di facebook.

Katanya lagi peranan serta sumbangan TNB besar dan kerana itu TNB penting di saat negara bertungkus lumus menangani virus COVID-19.

“Saya telah mengadakan lawatan ke Pusat Kawalan Wilayah Selatan dan Metro (MSRCC) dan National Load Dispatch Centre (NLDC) di Ibu Pejabat TNB, Bangsar hari ini, 26 Mac 2020 bersama Yb Ali Biju serta mereka yang lain dan telah diberi taklimat oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

“Tentunya ketika rakyat Malaysia mematuhi perintah untuk berada di rumah, warga kerja TNB berperanan penting memastikan bekalan elektrik yang stabil dapat dinikmati semua. Mereka bertugas demi negara dan rakyat,” ujarnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.