Semak Kesahihan Maklumat: Cara Melakukannya

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Pernahkah anda menerima maklumat “disahkan” yang meragukan dikongsi secara meluas menerusi WhatsApp atau Facebook, menyatakan ia daripada kumpulan sembang lain dan anda ingin “jerit” kepada mereka “Google it!” (semak di Google)?

Ya, anda betul kerana itu, sebenarnya, satu daripada cara untuk periksa atau semak sendiri sebarang maklumat yang anda terima.

Situasi di atas mungkin berlaku kepada sesiapa sahaja – keluarga anda, jiran anda atau rakan rapat anda dan di tengah-tengah penularan wabak COVID-19, tidak dapat dielakkan semua orang akan dibanjiri maklumat palsu tetapi jangan bimbang, terus membaca ini untuk mengetahui perkara-perkara yang anda perlu ambil perhatian untuk buat semakan sendiri, dengan itu, mengelak daripada menjadi mangsa berita palsu.

Baru-baru ini, jurulatih semak fakta daripada United Kingdom, Pengasas dan CEO FATHM Fergus Bell menjalankan kursus penyemakan fakta di Bernama dan berkongsi cara yang boleh digunakan oleh semua orang untuk memastikan anda tidak membuang masa anda mempercayai dan berkongsi dakwaan palsu.

Ini adalah pandangan Bell tentang cara untuk menyemak fakta 101:

1. Menilai kebolehpercayaan sumber. Tanya diri sendiri jika terdapat rekod untuk dinilai.

2. Semak maklumat itu di Google. Cari ruangan untuk semak fakta dan lihat keseluruhan halaman untuk mengesahkannya.

3. Lihat pada “flag”, jika ada seseorang telah memaparkan kepalsuan berita atau kandungan itu.

4. Baca isi kandungan, lakukan semakan dengan segera. Sentiasa fikir dahulu sebelum kongsi maklumat itu.

5. Jika ia adalah imej, lihat imej. Sebagai contoh, jalankan carian imej menerusi ‘google image reverse’ (tool untuk semak imej).

6. Semak alamat pautan. Untuk mendapatkan kepastian, periksa siapa pemilik tapak itu, sama ada ia meragukan menerusi ‘who.is’ (tool dalam talian untuk memeriksa pemilik laman web).

Bagaimanapun, dengan perlu menyemak maklumat di Google, dan melakukan semua langkah di atas mungkin menyusahkan kerana ia akan mengambil masa anda, maka jurulatih semak fakta Malaysia, Kuek Ser Kuang Keng berkongsi pendapatnya dengan Bernama berhubung isu itu.

Menurutnya, jika anda menerima dakwaan yang menimbulkan perhatian anda secara emosi, ia adalah petunjuk bahawa kemungkinan besar ia adalah palsu. Jangan masuk dalam perangkap itu.

Beliau menasihatkan sekiranya tindak balas anda kepada maklumat itu bersifat emosional seperti marah, cemas, gembira, perlu tenangkan diri sekurang-kurangnya sepuluh saat dan fikirkannya.

“Mereka (pihak yang mula kongsikan berita palsu) adalah bijak dalam memainkan emosi (pembaca) anda. Ada kalanya, orang mengambil kesempatan daripada situasi itu dan mereka mempunyai agenda tersendiri.

“Oleh itu, jadikan sebagai satu tabiat. Berhenti sejenak selama sepuluh saat dan fikirkannya.

Tanya diri anda ini, ‘Adakah ini membuat saya emosional dan mendorong saya untuk berkongsi dengan rakan dan keluarga’? Jika ya, itu adalah tanda (kemungkinan ia maklumat palsu). Berhati-hati lah, ” katanya dan menurutnya dengan tidak menyemaknya sendiri, akan membawa kepada situasi buruk dan mencetuskan kebimbangan tidak sepatutnya dalam kalangan orang ramai.

Amat penting untuk orang ramai belajar membuat semakan sendiri dengan mengenal pasti faktor-faktor perlu bagi menghentikan penyebaran maklumat palsu, terutamanya kepada orang yang kurang mendapat maklumat betul.

Kuek Ser berkata satu lagi perkara penting yang perlu dipertimbangkan untuk dibuat semakan, iaitu mesej audio daripada sumber tanpa nama.

“Tiada siapa tahu siapa sebenarnya di belakang suara itu, jadi perlu sentiasa semak sumber anda. Sekiranya tidak ada bukti berwibawa, jangan pedulikannya. Tiada siapa akan bertanggungjawab untuk mesej audio yang anda terima. Jangan percaya atau jangan sekali-kali kongsikannya.

“Satu hari anda terima mesej audio bahawa seseorang di kawasan kejiranan anda positif COVID-19. Anda menjadi bimbang dan tanpa berfikir secara kritis, anda akan kongsikan (mesej) dengan segera. Boleh anda bayangkan betapa teruk kesannya? ” katanya.

Ketika rakyat Malaysia sedang berdepan wabak COVID-19, ini adalah masa terbaik untuk kita semua menjalankan tanggungjawab dan belajar cara untuk menyemak sendiri apa-apa maklumat yang kita terima untuk mengekang dan memerangi fenomena berita palsu global yang dilihat seperti ‘ virus yang terus menular’ dalam masyarakat kita.

Dalam pelaporan berita, berpegang pada fakta adalah asas yang sentiasa perlu didukung, bagaimanapun, sesetengah orang masih memilih untuk mengabaikannya dengan lebih mempercayai maklumat yang mereka terima melalui sumber yang tidak diketahui.

Kali ini sekiranya anda menerima mesej audio dalam kumpulan keluarga WhatsApp anda, fikirkannya, adakah anda patut membuang masa berharga anda mendengar mesej audio yang tidak diketahui siapa pengirimnya dan menghantarnya kepada kumpulan lain? Semestinya tidak. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.