COVID-19: Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat Diumum Jumaat Ini – Muhyiddin

PUTRAJAYA, 25 Mac – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata satu pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat yang lebih menyeluruh dan akan memberikan manfaat kepada semua lapisan masyarakat dalam menghadapi cabaran wabak COVID-19, akan diumum Jumaat ini.

Perdana Menteri berkata pegawai di Kementerian Kewangan pada masa ini sedang bekerja bertungkus lumus dalam menyediakan pakej berkenaan.

“Sama ada anda pemandu teksi, pemandu Grab, petani, pengusaha restoran, penjual nasi lemak, penjual goreng pisang, penjual burger, pekerja harian, kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk pastikan anda semua beroleh manfaat.

“Insya-Allah, no one will be left behind (tiada yang akan dipinggirkan),” katanya dalam perutusan khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen dan media sosial hari ini.

Muhyiddin berkata sebagai Perdana Menteri beliau sedar bahawa beliau bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kebajikan rakyat secara keseluruhan.

“Ini amanah yang saya pikul. Sebagai manusia saya tidak sempurna, tetapi saya berjanji akan melakukan yang terbaik. Insya-Allah, dengan izin Allah SWT, kita akan dapat bersama-sama mengharungi dugaan besar ini,” katanya.

Beliau turut mendoakan petugas di barisan hadapan untuk terus cekal, meyifatkan situasi yang dihadapi mereka sekarang ini sebagai sesuatu yang bukannya mudah.

Menyentuh soal kebajikan petugas Kementerian Kesihatan, Perdana Menteri berkata beliau telah mengarahkan kementerian itu memberikan sedikit masa untuk mereka mengambil cuti rehat secara berperingkat, sebelum kembali bertugas semula.

Bagi mengisi tugas mereka buat sementara waktu ini, katanya, tenaga sukarela dalam kalangan doktor dan jururawat swasta dan badan-badan sukarela akan digerakkan.

“Saya tahu para doktor, jururawat dan kakitangan hospital amat keletihan pada masa ini.

“Begitu juga kepada anggota polis dan tentera yang bertugas di lapangan. Jaga kesihatan anda dan terus cekal berkhidmat untuk negara,” katanya. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit