K’jaan Setuju Lanjut Masa Bayaran Balik PTPTN Kepada Enam Bulan – PM Muhyiddin

PUTRAJAYA, 23 Mac – Kerajaan bersetuju memberikan lanjutan masa daripada tiga bulan kepada enam bulan bagi penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, penangguhan itu berkuatkuasa serta-merta bermula hari ini sehingga 30 Sept, yang melibatkan kutipan berjumlah RM750 juta.

“(Ia) Dijangka memberi manfaat kepada hampir 1.5 juta peminjam PTPTN,” katanya pada sidang media di sini, hari ini, yang turut disiarkan secara langsung menerusi televisyen dan radio serta media sosial hari ini.

Khamis lepas, PTPTN dalam satu kenyataan memaklumkan penangguhan bayaran balik pinjaman susulan penularan COVID-19 berkuat kuasa serta-merta selama tiga bulan sehingga 30 Jun 2020.

Tambah Muhyiddin, keputusan lanjutan masa daripada tiga bulan kepada enam bulan bayaran balik PTPTN itu diputuskan menerusi mesyuarat kedua Majlis Tindakan Ekonomi mengambil kira situasi terkini yang melanda negara ketika ini.

“Saya tahu dalam keadaan krisis yang sedang kita lalui ini, ramai kehilangan sumber pendapatan. Oleh sebab itu, Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi pada hari ini memutuskan beberapa inisiatif utama yang saya harap dapat membantu meringankan sedikit beban yang ditanggung anda semua ketika melalui waktu sukar ini,” katanya. – BERNAMA

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit