Perintah Kawalan Pergerakan Bermula Hari Ini, Zahid Dan Pemimpin Parti Titipkan Pesanan
KUALA LUMPUR, 18 Mac – Ekoran penularan pandemik Covid-19 semakin berleluasa, kerajaan pada Isnin lalu memutuskan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967, mulai hari ini hingga 31 Mac ini yang meliputi seluruh negara.
Sehubungan itu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ciapan di Twitter memohon rakyat agar mematuhi saranan pihak berkuasa dan mengutamakan kebersihan diri.
“Hendaklah sentiasa membasuh tangan dengan pencuci, gunakan sanitizer dan gunakan face mask ketika berada di luar. Kurangkan aktiviti di luar rumah,” sarannya.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk turut menyeru semua rakyat sama-sama berdoa agar wabak tersebut yang melanda di negara ini khususnya, pulih dengan cepat.
Dalam twitnya, Ahmad Zahid juga melampirkan nombor telefon Perintah Kawalan Pergerakan Covid-19 yang telah diaktifkan pada jam 12 tengah hari semalam di Talian 03-8888 2010.
Dalam platform yang sama, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan juga meninggalkan sedikit pesanan.
“Sikit pesanan saya, selalulah gunakan – “D-U-I-T” Doa-Usaha-Iltizam-Tawakal,” ciapnya.
Selain itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian turut melampirkan pesanan dari Ahmad Zahid dan juga Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta beberapa keratan muka hadapan akhbar perdana dan Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai wabak Covid-19.
Begitu juga dengan twit Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa yang menyeru umat Islam membaca doa yang berkaitan, sebagaimana yang dilampirkan di media sosialnya itu.
“Sama-sama kita membaca doa-doa ini seberapa kerap yang boleh. Doa adalah senjata orang beriman,” kata Menteri Wilayah Persekutuan itu.
Selanjutnya, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh menggesa rakyat mematuhi larangan dan kawalan pergerakan yang sedang dikuatkuasa sebagai satu ikhtiar serta sentiasa merujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara jika terdapat sebarang keraguan.
Berhubung dengan Perintah Kawalan Pergerakan, Annuar juga berkata ia adalah bertujuan memberhentikan penularan jangkitan virus Covid-19 yang mudah berlaku melalui sentuhan dan pendedahan kepada pembawa atau apa-apa yang tercemar dengan virus itu.
“Justeru kita harus berada di rumah dan elak dari keluar dan berinteraksi di luar,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE