Kecaman Dan Kenyataan Tidak Bertanggungjawab,  Tidak Akan Bantu Usaha Kerajaan Tangani Covid-19, Bidas Norliza

KUALA LUMPUR, 18 Mac – Wanita UMNO Malaysia hari ini menyelar kenyataan seorang netizen menggunakan nama ‘Joe Lee’ yang seolah-olah mengugut Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad.

Naib Ketuanya Datuk Norliza Abdul Rahim berkata Joe Lee yang memuatnaik status di Twitter antaranya berbunyi “any death arise from this, the fcxxxxx blood is on your hands” adalah keterlaluan dan tidak boleh diterima sama sekali.

“Justeru, Wanita UMNO telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Jalan Patani Pulau Pinang agar tindakan tegas dapat diambil segera.

“Kenyataan individu tersebut jelas berunsurkan ancaman menakutkan secara jenayah. Walaupun negara ini mengamalkan kebebasan bersuara namun ia tetap tertakluk kepada undang-undang dan tidak boleh melampaui batas,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Tambah beliau penularan virus Covid-19 bukan hanya menyerang Malaysia tapi seluruh dunia, maka semua pihak sedang berusaha dan mencari langkah terbaik bagi mengekang penularan virus ini.

Bidasnya lagi, makian dan ugutan tidak akan membantu kerajaan menyelesaikan isu tersebut dan ini adalah masa terbaik untuk semua pihak berganding bahu dan memberikan pandangan positif agar penularan virus ini dapat diatasi segera.

“Wanita UMNO dengan ini menggesa pihak berkuasa agar mengambil tindakan segera ke atas individu terbabit agar ia menjadi pengajaran kepada orang lain,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit