Penangguhan Persidangan Cawangan Selaras Dengan Arahan Semasa – Ahmad Maslan
KUALA LUMPUR, 17 Mac – Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata persidangan UMNO cawangan yang berlangsung seluruh negara sehingga ianya ditangguhkan semalam berjalan lancar dan sarat dengan pelbagai perkara yang dibangkitkan oleh ahli-ahli di akar umbi.
Menurut beliau selaras dengan arahan yang dikeluarkan semalam oleh kerajaan, parti itu turut mengambil tindakan sedemikian rupa dengan menangguhkan sementara waktu persidangan cawangan sehingga ianya dimaklumkan kelak.
“Kita menangguhkan persidangan cawangan yang belum lagi diadakan dan kita menghormati arahan kerajaan sehingga ianya diberitahu kelak. Kita berdoa agar COVID-19 ditemui vaksin. Harapan kita World Health Organisation (WHO) akan berusaha sedaya upaya .
“Oleh itu sebagai langkah berhati-hati, dalam mesyuarat pengurusan semalam yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan kebetulan ianya turut dihadiri oleh Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi seketika, kita bersama-sama kepimpinan lain membuat keputusan penting itu,” katanya.
Jelas Ahli Parlimen Pontian itu lagi, persidangan cawangan sebelum ini ada yang dilakukan secara berkelompok dan dihadiri oleh pelbagai peringkat kepimpinan parti.
“Ada sebahagiannya dirasmikan oleh pemimpin-pemimpin negeri…telah dilaksanakan dan telahpun berjalan dengan baik sebelum ini. Alhamdulillah. Kepada yang masih belum…sabar kerana perkara ini untuk kebaikan kita semua,” tambahnya.
Beliau seterusnya menambah seluruh pejabat UMNO bahagian di seluruh negara diharap agar dapat mematuhi peraturan dari semasa ke semasa.
Malam tadi, dalam satu sidang media, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai esok hingga 31 Mac ini yang meliputi seluruh negara.
Perdana Menteri turut merayu agar rakyat sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan di mana ia adalah tanggungjawab bersama dan tindakan drastik perlu diambil dalam kadar segera untuk menyekat penularan wabak COVID-19 dengan cara mengehadkan pergerakan orang ramai serta ini merupakan satu-satunya cara untuk mengelakkan lebih ramai rakyat negara ini dijangkiti wabak yang boleh meragut nyawa itu.
Perintah kawalan ini dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.- UMNO Online