Rakyat Harapkan PM-8 Buat Perubahan Holistik Setelah PH Gagal – Bung Moktar

KUALA LUMPUR, 9 Mac – Seluruh rakyat Malaysia mengharapkan Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama barisan kabinetnya agar dapat membuat perubahan secara holistik, kata Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Dilaporkan, pagi ini Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mempersembahkan senarai barisan Jemaah Menteri baharu kerajaan.

“Seluruh rakyat malaysia mengharapkan PM-8, bersama barisan kabinetnya agar dapat membuat perubahan secara holistik, sebab rakyat sudah terbeban secara langsung selama 21 bulan apabila PH tidak mempedulikan masalah rakyat,” katanya menerusi ciapan dalam Twitternya.

Terdahulu beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ahli Parlimen Kinabatangan berkata rakyat sentiasa mengharapkan yang terbaik.

“Menjelang sidang Dewan Rakyat nanti pada 18 Mei akan datang, rakyat akan melihat pertembungan dua pemimpin yang masing-masing mempunyai keyakinan untuk mendapat majoriti.

“Apa pun janganlah keadaan menjadi ‘elephant fight elephant grass suffers’, rakyat sentiasa mengharapkan yang terbaik,” katanya lagi.

Dilaporkan, menurut kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri, selepas mendapat perkenan daripada Seri Paduka, Muhyiddin dijangka mengumumkan senarai Jemaah Menteri hari ini, pada 5 petang, di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai PM-8 pada 1 Mac lalu yang menoktahkan kemelut politik negara ekoran peletakan jawatan Tun Dr Maharhir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan pertelingkahan dalaman Pakatan Harapan hingga membawa kepada runtuhnya kerajaan gabungan terbabit. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79