Hentikanlah Polemik Pelantikan PM, Cukup-cukuplah Berpolitik – Mahdzir

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyeru semua pihak untuk menghentikan polemik pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kerana rakyat sudah semakin jemu dan muak dengan permainan politik yang dumulakan oleh Pakatan Harapan (PH).

Katanya, Hormatilah kebijaksanaan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam membuat keputusan dan perkenan Baginda memilih peneraju urus tadbir kerajaan Malaysia.

“Rakyat memerlukan pembelaan yang wajar dan adil dalam semua aspek kehidupan mereka. Rakyat juga sudah semakin jemu dan muak dengan hidangan permainan politik yang dimulakan oleh pihak PH sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegas beliau, cukup-cukuplah berpolitik demi kepentingan diri kerana rakyat sudah letih.

“Berilah peluang kepada YAB PM untuk memimpin negara dengan penuh fokus tanpa perlu diganggu gugat oleh pelbagai permainan politik.

“Tegur dan kritiklah pentadbiran kerajaan secara positif, berhemah dan membina selepas ini seperti mana yang pihak pembangkang pasca PRU14 lakukan.”

Beliau melahirkan keyakinan bahawa pentadbiran yang baharu ini kelak akan sentiasa mendengar dan bertindak sebaik mungkin memperbaiki kekurangan yang timbul serta memperkasa segala perancangan yang baik untuk negara.

“Saya juga ingin menyeru kepada semua penyokong parti politik agar sentiasa bertenang, berlapang dada dan tidak terikut-ikut dengan rentak ahli politik yang sentiasa cuba mencipta gelombang dan kontroversi,” katanya yang juga Ahli Parlimen Padang Terap dengan menyertakan #BinaSemula dan #Malaysiaku.

Dilaporkan, semalam Muhyiddin mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara pada 10.33 pagi semalam dan hari ini Muhyiddin memulakan tugas sebagai Perdana Menteri kelapan dengan memasuki Perdana Putra di sini, yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri, tepat pukul 8.00 pagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79